Pepias ajak pelajar, generasi muda tolak rasuah

Mohamad Khairuddin
Mohamad Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) bertekad membantu menjayakan kempen antirasuah dalam kalangan pelajar dan generasi muda di negara ini.

Presidennya, Mohamad Khairuddin Zahari berkata, Pepias menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kebimbangan serta keresahan baginda terhadap peningkatan ketara kes rasuah khususnya di negeri Selangor.

Katanya, dalam pertemuan bersama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lalu, baginda menggesa supaya kes-kes rasuah dapat disiasat dengan telus dan teliti, selain menyegerakan perbicaraan kes-kes rasuah.

"Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama dalam menggerakkan Malaysian Youth Anti Corruption Taskforce (MYACT), Pepias mendukung penuh gesaan Sultan Selangor supaya gejala rasuah ini dapat dibendung dan dibanteras agar tidak menjadi mudarat yang lebih besar pada generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pepias merupakan badan gabungan negeri Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Bagi menjayakan usaha memerangi rasuah dalam kalangan anak muda, Mohamad Khairuddin berkata, pihaknya berkerjasama menganjurkan Bengkel Kesedaran Rasuah anjuran MYACT Zon Tengah baru-baru ini.

Jelasnya, penganjuran bengkel tersebut pastinya memberi penerangan dan pencerahan berhubung gejala rasuah kepada golongan belia serta anak muda supaya terus waspada, malah tidak mudah terpedaya dengan budaya buruk rasuah.

Katanya, program itu merupakan anjuran bersma Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Belia Rasuah Busters Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bengkel itu turut mendapat kerjasama SPRM, Malaysia Reform Initiative (MARI), Kedutaan Amerika Syarikat dan United States Agency for International Development (USAID).

Katanya, program seumpama itu seharusnya dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat terutama penglibatan anak muda.

"Amat penting untuk seluruh masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang dan pangkat untuk memandang serius terhadap gejala rasuah yang semakin meningkat di negara ini," katanya.

Sementara itu menurutnya, Pepias turut menyambut baik usaha tegas dan tuntas Kerajaan Negeri Selangor membanteras gejala rasuah.

"Semoga dengan keprihatinan dan usaha yang berterusan melalui semua pihak ini dapat membantu membanteras isu rasuah sehingga akar umbi, demi memastikan negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang sejahtera, makmur dan bebas daripada gejala rasuah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!