Indeks Volum Perkhidmatan suku kedua 2021 meningkat 17.6 peratus
INDEKS Volum Perkhidmatan mencatat peningkatan sebanyak 17.6 peratus kepada 116.7 mata pada suku kedua 2021 berbanding 99.2 mata pada suku sama tahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut didorong oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan sebanyak 20.3 peratus manakala segmen perkhidmatan lain sebanyak 17.7 peratus.
“Bagi perbandingan suku tahunan, Indeks Volum Perkhidmatan turun 5.4 peratus kepada 116.7 mata berbanding suku tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan media Prestasi Indeks Volum Perkhidmatan Suku Tahun Kedua 2021 yang dikeluarkan pada Rabu.
Menurut Mohd Uzir, bagi perbandingan suku tahunan, indeks volum pelarasan musim sektor tersebut menguncup 3.0 peratus kepada 120.0 mata.
“Segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan merupakan penyumbang utama penyusutan ini dengan merekodkan pertumbuhan negatif sebanyak 5.1 peratus,” kata beliau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!