Pintu rezeki buat fakir
PADA Sabtu lalu, seorang lelaki tua, 70-an, memimpin erat seorang budak lelaki. Mereka bersama-sama melangkah masuk ke Masjid Al Akram, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Lelaki itu membiarkan budak yang mungkin cucunya memegang besen biru bersaiz sederhana.
Perasaan ingin tahu menjadikan penulis menghiraukan seketika niat awal penulis ke situ. Harus diakui bahawa penulis dapat membaca ke mana dua hamba ALLAH hendak tuju. Ya, benar, riak wajah mereka cukup teruja tatkala melihat mesin ATM beras pada satu sudut masjid berkenaan.
Puas jari-jemari si lelaki tua menekan segala butang pada mesin itu. Hembusan nafasnya yang dapat didengari menggambarkan betapa remuk hatinya apabila usahanya tidak berhasil. Jangan kata semangkuk beras, membawa waima sebutir pun tidak berjaya.
"Tak adalah atuk, tak keluar pun beras ni." Oh! luluhnya jiwa mendengar pernyataan hati yang terpacul daripada mulut anak comel hanya berbaju separa lusuh itu.
Ternyata, kebesaran ALLAH itu Maha Hebat. Sebaik kelibat si tua dan si kecil mahu menapak keluar, seorang lelaki muda menyapa. Dihulurkan sekampit beras 5 kilogram kepada mereka. Ucapan terima kasih bertalu-talu dizahirkan. Kelopak mata lelaki separuh abad itu berkaca. Cucunya kegirangan.
Peristiwa itu telah menjentik emosi yang berlebihan pada diri penulis. Mungkin pada kita, beras itu mudah diperoleh pada bila-bila. Namun kepada seorang fakir, beras itu membawa pengertian yang sangat besar.
Inovasi
Apabila Masjid Al Akram memecah tradisi dengan menyediakan mesin ATM beras yang mana fungsinya saling tidak tumpah dengan mesin ATM mengeluarkan wang, satu Malaysia galak bercerita. Kali ini, majoriti netizen bersatu menghargai usaha murni itu.
Sebelum pergi jauh, Sinar Islam mengajak pembaca mendasari idea ATM beras ini. Sebenarnya, ia diasaskan seorang lelaki Indonesia bernama Budi Adji pada tahun 2016.
Kemudian, pada Jun 2018, tular video memaparkan seorang wanita mengambil beras dari sebuah mesin automatik di Masjid Salman Institut Teknologi Bandung, Indonesia.
Hanya dengan mengimbas kad dan dalam tempoh beberapa saat, beras keluar memenuhi bekas yang tersedia pada ruang bawah mesin berkenaan. Reka bentuknya hampir menyamai mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank. Yang membezakannya, hanyalah tiada butang menu, angka termasuk kata laluan.
Dalam kalangan masyarakat Indonesia, mesin tersebut dipanggil Anjungan Terima Mandiri (ATM) Beras.
Perkara yang baik tidak salah menjadi ikutan. Fenomena itu kemudian menjalar di Malaysia. Masjid Al Akram merupakan masjid pertama mengimplemenkan inovasi sama pada 14 Februari lalu.
Dermawan
Sinar Islam baru-baru ini berkunjung ke masjid berkenaan dan menemui pengerusinya, Abdul Karim Mat Asil.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, ATM beras ini mempunyai dua fungsi dalam membantu golongan fakir miskin.
"Fungsi pertama, mengeluarkan beras dalam kuantiti ditetapkan untuk golongan disasarkan. Satu lagi fungsi, menerima derma berbentuk tunai daripada jemaah yang ingin menyumbang wang bagi tujuan isian semula beras," jelasnya.
Jika tidak, ujar Abdul Karim, jemaah boleh terus menyumbang beras.
Siapa yang layak menerima? Jawapannya, ia dikhususkan kepada golongan asnaf fakir dan miskin. Caranya, setiap yang layak akan diberikan kad bercip bagi tujuan pengeluaran beras setiap minggu. Barangkali, lelaki 70-an yang penulis jumpa perlu mendaftarkan diri sebelum mendapatkan beras terlebih dulu.
"Sehingga kini, terdapat 50 penerima yang layak berdaftar dengan masjid. Kami turut meminta surau-surau berhampiran memberi senarai asnaf fakir dan miskin supaya tidak terlepas pandang dalam senarai," jelasnya.
Tertanya-tanya juga penulis siapa yang berhati mulia membelikan mesin ATM beras ini. Ringkas Abdul Karim berkata: "Ia sumbangan seorang dermawan yang juga ahli perniagaan dari kawasan berhampiran." Namanya, dirahsiakan.
Terkawal
Mengakses ATM beras ini lebih mudah daripada mesin ATM wang sebenarnya. Tiada kata laluan diperlukan, kata Abdul Karim.
Penerima hanya perlu mengimbas kad bercip pada ruangan khas. Kemudian, beras 2 kilogram (kg) secara automatik akan keluar. Mesin itu boleh memuatkan 240kg beras. Ujarnya lagi, setiap penerima sudah ditetapkan jadual waktu pengambilan beras termasuk hari dan masa pada setiap minggu.
"Selalunya waktu (pengambilan) adalah selepas waktu solat fardu kerana di samping membantu mereka, kita juga hendak berdakwah dan menggalakkan mereka menunaikan solat di masjid. Pengeluaran hanya boleh dibuat seminggu sekali mengikut jadual ditetapkan.
"Jadi, tidak timbul isu pengeluaran banyak kali kerana ia terkawal. Jika penerima ada masalah atau tidak dapat datang pada hari berkenaan, mereka perlu memaklumkan kepada pengurusan masjid," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Imam Masjid Al-Akram, Ustaz Muhammad Khairul Razikin Abdul Razak berkata, inovasi mesin ATM beras ini berupaya menjadi contoh kepada masjid-masjid lain.
"Ia menunjukkan ada banyak cara untuk sama-sama berkongsi rezeki. Bantuan bukan sahaja boleh dilakukan mengikut cara tradisi tetapi juga boleh dilakukan dengan cara moden seperti mesin ATM beras ini.
"Apabila kita umumkan pada jemaah tentang mesin ini, kami lihat mereka sangat seronok untuk sama-sama melakukan fastabiqul khairat (berlumba-lumba berbuat kebaikan) dengan menderma dan menghulurkan bantuan," jelasnya.
Alhamdulillah, Sinar Islam difahamkan, ramai pengunjung termasuk pengurusan masjid dari negeri lain turut mahu mengaplikasikan metodologi yang serupa.
Gerobok rezeki
Penjelajahan Sinar Islam diteruskan ke Masjid Al-I'tisam TTDI Jaya, Shah Alam. Jika di Masjid Al Akram ada ATM beras, di sini, pihak masjid menyediakan dua gerobok bagi menggalakkan perkongsian rezeki sesama jemaah.
Imam 1 masjid berkenaan, Ustaz Mohd Azrol Abu Bakar berkata, satu daripada almari itu merupakan almari sumbangan yang diperkenalkan sejak tahun 2012 lagi.
"Ahli kariah boleh menyumbang barangan berbentuk makanan seperti beras, gula, kicap, minyak masak dan sebagainya untuk asnaf.
"Setiap hari Sabtu, minggu keempat, kita ada program kelas fardu ain dan al-Quran untuk golongan asnaf. Kami akan serahkan sumbangan selepas tamat kelas," katanya sambil menambah masjid itu mempunyai 40 keluarga asnaf berdaftar sehingga kini.
Melihat perkembangan positif itu, Mohd Azrol berkata, mereka menambah sebuah lagi almari dua tahun lalu. Sasarannya kali ini berfokus kepada mereka yang benar-benar terdesak dan terputus bekalan makanan.
"Walaupun penduduk di TTDI Jaya kebanyakannya dalam kalangan golongan elit tetapi masih ada juga dalam kumpulan kategori miskin bandar. Sesetengah orang tidak suka beritahu bahawa dirinya susah. Jadi, kita buat insiatif almari rezeki bagi membantu mereka ini," jelasnya.
Menjawab satu soalan, beliau akui, agak sukar mengawal individu yang mengambil barang daripada almari rezeki ekoran Masjid Al-I'tisam ketika ini masih dalam pembinaan.
"Ada ketika orang ambil kesempatan, kita tak mahu tuduh sesiapa. Mungkin dia tak mampu. Cuma kita ada sediakan satu buku rekod dan minta mereka yang mengambil barang-barang di almari ini untuk menulis butiran diri dan nombor telefon untuk rekod. Tujuannya, kita hendak tengok jika mereka ini mungkin tergolong dalam golongan asnaf untuk kita berikan bantuan seterusnya," ujarnya.
Lain pula ceritanya di Masjid Al-Ikhlas, Shah Alam. Lokasinya yang terletak berhampiran Terminal Bas Sementara Seksyen 13 dan Stadium Shah Alam menjadikan masjid ini sentiasa dipenuhi orang.
Kepada Sinar Islam, Penolong Pegawai Tadbir masjid itu, Muhaiyanie Mustapa berkata, pihaknya menyediakan kemudahan almari rezeki yang dipanggil Tabarru'at yang menempatkan barangan keperluan seperti beras, kicap, tepung dan lampin pakai buang sejak akhir tahun 2016.
"Tabarru'at bermaksud tanggungjawab dikongsi bersama ahli masyarakat untuk memberi bantuan kewangan kepada yang memerlukan. Kami perkenalkan sebab ramai musafir terputus duit, kemudian ada pula kes musafir yang beg kena curi.
"Selalu yang datang sini minta bantuan beli tiket bas sebab tiada duit dan kita akan beri mereka makan apa yang dalam dalam Tabarru'at sementara mereka menunggu bas untuk balik kampung," ujarnya yang memberitahu bahawa mi segera dan minuman 3 dalam 1 antara barang paling 'laku' di situ.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!