6 polis cedera, 6 penunjuk perasaan ditahan di Bangkok
BANGKOK - Sekurang-kurangnya enam anggota polis cedera termasuk seorang ditembak di kaki selepas berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan antikerajaan dan polis di Bangkok pada Selasa, berikutan satu perarakan kereta yang dianjurkan penunjuk perasaan.
Timbalan Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Mejar Jeneral Piya Tawichai berkata, tiga daripada enam mangsa terkena serpihan bom buatan sendiri.
"Enam penunjuk perasaan ditangkap dan hampir 100 motosikal dirampas," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa malam.
Jumlah penunjuk perasaan yang cedera tidak diketahui. Bagaimanapun, menurut Hospital Rajavithi, 10 penunjuk perasaan cedera dan dimasukkan ke hospital pada Selasa, lapor media tempatan.
Pada Selasa, polis melepaskan gas pemedih mata, semburan air dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang bertembung dengan polis di Persimpangan Din Daeng di Bangkok tempat sama berlakunya pertempuran pada Sabtu lalu.
Terdahulu, konvoi kenderaan itu melintasi bandar raya Bangkok dengan membunyikan hon tanpa henti.
Protes anjuran United Front of Thammasat and Demonstration itu mengulangi desakan mereka agar Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berundur, kerana kelemahan kerajaan menangani situasi Covid-19 dan pengurusan vaksin yang perlahan.
Sementara itu, Mahkamah Awam Thailand pada Selasa menolak petisyen yang dikemukakan seorang wartawan dan jurugambar yang terkena peluru getah ketika melaporkan tunjuk perasaan di Bangkok bulan lalu.
Mahkamah menolak permohonan itu dengan alasan langkah itu diperlukan di bawah perintah darurat, lapor Thai PBS.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan polis untuk lebih berhati-hati. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!