Zahid kesal tindakan timbulkan syak wasangka terhadap ketetapan UMNO
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kesal dengan tindakan segelintir pihak yang menimbulkan syak wasangka terhadap ketetapan UMNO dalam menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, persoalan 'what's next' jelas cuma bertujuan menimbulkan rasa ragu-ragu terhadap perjuangan UMNO untuk menyelamatkan rakyat dan negara.
"Keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu secara jelas menyatakan 'what's next' jika dibaca dan dihayati dengan hati yang jujur," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook pada Rabu.
Ahmad Zahid berkata, ia terkandung dalam perkara tujuh hingga sembilan.
"Bagi perkara 7, UMNO mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yasin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.
"Perkara 8 pula tempoh perdana menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi perkara 9 pula, setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, perdana menteri baharu mestilah segera menasihati Seri Paduka Baginda untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.
"Perkara 10 menjelaskan bahawa UMNO mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan (PH) (DAP-PH Led Government)," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!