Jijoe buktikan stigma karier musnah selepas kahwin salah
[DIKEMAS KINI] Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang membuktikan mereka yang meramalkan kariernya akan hancur, berperut buncit dan lutut longgar apabila menamatkan zaman bujangnya pada usia 22 tahun, adalah tidak benar.
Sebaliknya, pemenang pingat perak Tokyo 2020 yang membina mahligai perkahwinan bersama Datin Athiah Ilyana Abd Samat, 35, pada 2010 bersyukur apabila kariernya masih bertahan dan terus mengecap pelbagai kejayaan sehingga hari ini.
“Pepatah di belakang kejayaan seseorang lelaki itu ada seorang wanita yang hebat’ adalah benar sama sekali. Saya buktikan itu (stigma) semua dusta, syukur Alhamdulillah sampai ke hari ini masih perkasa.
“Orang hanya lihat kejayaan saya adalah hasil daripada kerja keras latihan dan sebagainya tetapi sebenarnya sokongan jitu daripada isteri dan keluarga adalah melangkaui segala-galanya,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook dan Instagram hari ini.
Hasil perkahwinan Azizulhasni, 33, dan Athiah Ilyana itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Amna Maryam, 8, dan Amna Khadeeja, 5. Isterinya sedang mengandung anak ketiga mereka.
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu turut mengambil kesempatan memberi penghargaan kepada kedua ibu bapanya iaitu Selamiah Yong dan Awang Embong.
Katanya, ibunya dengan rela hati terpaksa melepaskan beliau berhijrah ke Kuala Lumpur ketika berusia 16 tahun demi mengejar cita-cita menjadi atlet negara dan situasi itu menyebabkannya amat jarang berjumpa apatah lagi meluangkan masa bersama keluarga seperti orang lain.
“Tetapi dalam keadaan begitupun, Ma (ibu) masih sentiasa memberikan sokongan, menyuruh saya supaya sentiasa berlatih bersungguh-sungguh dan mengejar impian peribadi serta misi negara,” katanya.
Sementara itu, Azizulhasni yang mesra disapa ‘Jijoe’ menyatakan semangat bapanya yang merupakan pesakit demensia dan pernah diserang strok sebelum ini, sentiasa bersama dalam dirinya walaupun jarang dapat bersua.
Juara keirin dunia 2017 itu memberitahu, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaannya sebaik mendapat perkhabaran bapanya dimasukkan ke hospital akibat strok beberapa hari sebelum ke Jepun.
Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada adik-beradiknya di Terengganu yang menjaga bapanya dengan rapi seterusnya mereka memintanya memberi tumpuan penuh menggalas cabaran negara di Velodrome Izu.
Pada aksi final keirin lelaki Ahad lepas, penyandang juara Jason Kenny dari Great Britain mengesahkan pingat emas untuk mengekalkan gelarannya manakala Azizulhasni melintasi garis penamat untuk pingat perak dan gangsa pula milik pelumba Belanda, Harrie Lavreysen.
Sementara itu, Mohd Azizulhasni juga ingin berkongsi mengenai peranan individu dipanggil ‘abah’ yang turut menjadi sebab beliau kuat menempuh pelbagai rintangan serta jatuh bangun dalam dunia sukan berbasikal.
Bagaimanapun, beliau bakal menjelaskan status insan bergelar ‘abah’ atau nama sebenarnya Mustafa Ngah kelak kerana ramai pasti keliru disebabkan Mohd Azizulhasni mempunyai bapa kandung, Awang Embong.
Menurut Mohd Azizulhasni yang bakal menimang cahaya mata ketiga itu, beliau jarang berkongsi mengenai arwah Mustafa, namun percaya sesetengah karakter ada pada dirinya hari ini adalah daripada ‘abah’.
“Saya jarang berkongsi tentang arwah ‘Abah’ bukan kerana saya lupakan beliau serta jasa-jasanya, tetapi saya tak cukup kuat untuk menzahirkan tentang beliau. Setiap kali terdengar namanya, saya pasti sedih dan kerinduan,” katanya.
Katanya, Allahyarham telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang dan cuba memberikan segala yang termampu kepada beliau sewaktu kecil dahulu.
“Teringat waktu kecil dahulu kami tidak ada kereta, dan kalau hendak teman beliau ke mana-mana saya akan duduk di dalam raga motosikal ‘Abah’,” katanya.
Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu berasa ralat apabila tidak dapat bersama Allahyarham pada penghujung hayatnya dan memaklumkan akan berkongsi punca beliau tiada di sisi ‘abah’ suatu hari nanti. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!