512 kes Covid-19 libat polis Negeri Sembilan, ahli keluarga

Che Zakaria (dua dari kiri) berbual bersama Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman (tengah) pada program penyerahan bakul makanan pihak swasta kepada IPK Negeri Sembilan pada Rabu.
Che Zakaria (dua dari kiri) berbual bersama Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman (tengah) pada program penyerahan bakul makanan pihak swasta kepada IPK Negeri Sembilan pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 512 pegawai dan anggota polis Negeri Sembilan termasuk ahli keluarga, dijangkiti Covid-19 setakat tempoh tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, daripada jumlah tersebut, dua kematian direkodkan, membabitkan seorang anggota polis dan seorang ahli keluarga.

Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 545 kes dikesan, ini menunjukkan berlaku peningkatan kes membabitkan jangkitan kes Covid-19.

"Kalau kita tengok, setakat bulan ini sudah mencatatkan 512 kes jangkitan membabitkan anggota, pegawai polis dan ahli keluarga.

"Jika dibandingkan dengan tahun lalu, pada tahun ini menunjukkan ada sedikit peningkatan, sekarang belum hujung tahun lagi tetapi kes agak tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan bakul makanan syarikat swasta kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis Negeri Sembilan, pada Rabu.

Dalam pada itu, Che Zakaria memberitahu, pihaknya terus giat mengusahakan proses pemberian vaksin kepada ahli keluarga anggota polis, bagi mempercepatkan proses capaian imuniti kelompok.

Katanya, mana-mana ahli keluarga anggota termasuk pegawai yang layak menerima vaksin, akan menerima suntikan secepat mungkin bagi memastikan keselamatan ahli keluarga anggota barisan hadapan itu terjamin.

Artikel Berkaitan:

Pada program tersebut, sebanyak 1,000 pek bantuan bakul makanan diterima daripada agensi swasta bagi membantu pihak PDRM meneruskan Ops Bantu dengan membantu golongan yang memerlukan.

Penyerahan tersebut disaksikan oleh Undang Luak Rembau, Dato Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman.

Jelasnya, untuk program Ops Bantu ini, IPK Negeri Sembilan keseluruhannya telah menerima 1,400 permohonan bantuan bakul makanan menerusi kaedah panggilan telefon, talian WhatsApp dan hasil tinjauan rondaan pihak polis, termasuk mereka yang mengibarkan bendera putih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!