Suami isteri ditahan, dadah bernilai RM2.09 juta dirampas
PASIR MAS - Polis merampas dadah jenis heroin base seberat 13.295 kilogram (kg) dan 86,000 biji pil yaba bernilai RM2.09 juta selepas menahan seorang pemandu lori di jalan Pasir Mas-Tanah Merah di sini pada Ahad.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada jam 1.30 petang oleh anggota Risik Antarabangsa Bukit Aman dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
"Sejurus menahan suspek, polis terus melakukan pemeriksaan di rumah sewa milik lelaki berkenaan di Kampung Sungai Tendong di sini," katanya pada sidang akhbar di IPD Pasir Mas di sini pada Rabu.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas rumah suspek membawa kepada penemuan 13.395kg dadah jenis heroin base dan 86,000 biji pil yaba yang berada di dalam bilik.
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Satria dan motosikal jenis Ego Avantiz bernilai RM14,000.
Shafien berkata, pihaknya turut menahan isteri suspek berusia 23 tahun yang merupakan warga negara jiran bagi membantu siasatan.
"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung rampasan itu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Shafien berkata, siasatan awal mendedahkan suspek dipercayai sudah enam bulan aktif dalam menjalankan kegiatan itu.
Katanya, kesemua bahan terlarang itu dipercayai untuk pasaran di selatan tanah air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!