India lantik Pesuruhjaya Tinggi baharu ke Malaysia
NEW DELHI - India melantik B Nagabhushana Reddy sebagai Pesuruhjaya Tinggi baharu ke Malaysia.
"Beliau dijangka mengambil alih tugas itu dalam waktu terdekat," menurut Kementerian Luar India dalam satu kenyataan pada Selasa.
Reddy sebelum ini berkhidmat sebagai setiausaha bersama yang bertanggungjawab dalam aspek kerjasama antarabangsa di Kementerian Petroleum dan Gas Asli.
Sejak sedekad lalu beliau banyak berkhidmat di luar negara termasuk ke Malaysia.
Sebagai pegawai Perkhidmatan Luar Negeri pada 1993, beliau pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Nigeria dari Julai 2016 hingga Disember 2018.
Sebelum itu, beliau juga menjadi perwakilan tetap misi India di Geneva.
Reddy akan menggantikan Mridul Kumar yang menamatkan tugasnya di Malaysia Julai lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!