'Saya lihat pusaran asap putih sebelum bumbung terbang'

Mohamad Rizal Anuar melihat bumbung rumahnya rosak akibat kejadian ribut kuat petang Selasa.
Mohamad Rizal Anuar melihat bumbung rumahnya rosak akibat kejadian ribut kuat petang Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Seorang bapa kepada empat anak berdepan detik cemas selepas bumbung rumahnya di Felda Sungai Panching Utara, di sini ranap diterbangkan angin dalam kejadian ribut pada petang, Selasa.

Mohamad Rizal Anuar Din, 39, berkata, ketika itu dia bersama anaknya sedang berehat di tingkat atas rumahnya sebelum melihat satu pusaran asap putih dan hujan lebat.

Menurutnya, dalam beberapa saat, bumbung rumahnya diterbangkan angin kuat dan dia bersama anaknya berusaha menyelamatkan diri.

Mohamad Rizal Anuar
Mohamad Rizal Anuar

"Situasi itu menyebabkan saya panik, takut dan terasa rumah saya ini seperti hendak runtuh bila melihat bumbung rumah diterbangkan angin kencang di hadapan mata.

"Saya dan anak melarikan diri untuk selamatkan diri dan ketika hendak berlari ke tempat selamat, bumbung telah menghempap badan menyebabkan saya jatuh tertiarap. Alhamdulilah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan teruk," ketika ditemui di rumahnya di Felda Sungai Panching Utara pada Selasa.

Sebanyak 79 keluarga yang terlibat dalam kejadian ribut itu telah menerima bantuan daripada pelbagai pihak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Panching, Ahmad Tarmizi Yahaya, selain Pengurus Felda Sungai Panching Utara, Abdul Samad Harun turut mengadakan lawatan.

Mohamad Rizal yang bekerja sebagai kontraktor Alam Flora memberitahu, kejadian kali kedua itu adalah paling teruk dialami keluarganya.

Artikel Berkaitan:

"Saya baru siap baiki kerosakan dan tidak menyangka kejadian itu berulang sekali lagi petang Selasa, rasanya memang penat jugalah, sebab baru saja saya baiki atap akibat ribut baru-baru ini.

“Tapi ini semua bukan kerja kita semuanya kerja Dia (Tuhan) jadi kena reda dan kalau tengok keadaan (kerosakan) kali ini, banyak juga (kos) yang diperlukan untuk membaiki semula atap rumah ini,” katanya.

Sebanyak 79 rumah di kawasan Felda Sungai Panching Utara mengalami kerosakan akibat ribut dan hujan lebat pada petang Selasa.
Sebanyak 79 rumah di kawasan Felda Sungai Panching Utara mengalami kerosakan akibat ribut dan hujan lebat pada petang Selasa.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Nor Abdullah, 78, pula sempat melaungkan azan sewaktu melihat pusaran angin kuat yang menerbangkan bumbung rumahnya.

Menurutnya, hanya itu yang mampu dilakukan selepas melihat anak dan cucunya berpelukan sambil mengucap ketika kejadian terbabit berlaku.

"Seingat saya, saya tak sempat habis laungkan azan, bunyi seperti dentuman dan bumbung rumah saya bergulung sebelum diterbangkan angin kuat.

"Kejadian itu berlaku beberapa minit selepas saya melihat pusaran berwarna putih seperti asap yang tidak jauh dari rumah pada jam 5.30 petang Selasa," katanya.

Warga emas itu menjelaskan, anggaran kerugian dialaminya sekitar RM5,000 dan sedang berbincang dengan anaknya bagi membaiki semula bumbung kediaman yang rosak teruk itu.

Muhammad Nor menunjukkan keadaan di dalam rumahnya.
Muhammad Nor menunjukkan keadaan di dalam rumahnya.

Sementara itu, Abdul Samad berkata, seramai 79 keluarga menanggung kerugian antara RM1,000 hingga RM5,000 akibat bencana ribut itu.

Menurutnya, kejadian itu adalah kali kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu di kawasan berkenaan.

“Pihak kami sudah melakukan pemantauan di sekitar kawasan penempatan ini sejak malam tadi dan setakat ini, tidak ada laporan kecederaan membabitkan penduduk.

“Proses penilaian kerosakan dan kerugian dialami penduduk juga sedang dilakukan dan pihak Felda akan menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka dalam masa terdekat,” katanya.

Abdul Samad
Abdul Samad

Mengulas mengenai dakwaan penduduk mengenai proses penanaman semula yang sedang dilakukan di sekitar Felda Sungai Panching Utara menjadi punca bencana itu, Abdul Samad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan perkara itu adalah antara penyumbang kepada bencana di kawasan terbabit.

Jelasnya, kejadian seperti ini sebenarnya sudah lama tidak berlaku dan pihaknya mengaku sedang melakukan proses penanaman semula.

“Banyak kawasan sudah dibersihkan, pokok kelapa sawit yang lama ditebang untuk proses ini (tanam semula), jadi mungkin ia mengakibatkan laluan angin terperangkap di sini kerana kawasan ini berbukit dan akhirnya mengakibatkan ribut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!