Ahli Parlimen UMNO sokong PN diminta insaf: Ahmad Zahid
SHAH ALAM - Ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan agar menginsafi kewajipan dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli Parlimen parti itu perlu sentiasa memihak kepada rakyat dan bukannya kepada mereka yang mahu mengekalkan kuasa meskipun dengan jelas gagal serta membelakangi keluhuran Perlembagaan serta Institusi Diraja.
"Saya percaya kini adalah masanya untuk kita membuktikan kepada rakyat bahawa kita sebagai wakil rakyat daripada UMNO sanggup berpayah demi berdiri bersama mereka.
"Bukan berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat kehilangan nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan wabak dilaporkan saban hari.
"Sehingga menyebabkan Malaysia dianggap antara negara yang gagal membendung penularan Covid-19 di dunia," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Dalam hantaran sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menasihati wakil rakyat UMNO agar memahami pesanan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyeru agar hubungan antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli Parlimen parti itu mesti diharmonikan demi kepentingan negara.
"Sebagai ahli Parlimen UMNO kita sewajarnya lebih terkesan dengan kegagalan itu kerana rakyat yang menderita termasuk ahli-ahli sendiri.
"Juga pengundi-pengundi UMNO di kawasan kita. Kita tahu begitu ramai rakyat termasuk ahli dan pengundi UMNO tidak mampu bekerja, menjadi miskin serta muflis.
"Maka sudah tiba masa kita sebagai ahli Parlimen UMNO menunjukkan dan membuktikan kepada rakyat bahawa kita berjuang untuk mereka," katanya.
Tegas Ahmad Zahid, perkara tersebut mampu dibuktikan dengan mudah iaitu meninggalkan kerajaan PN dan kembali kepada landasan perjuangan UMNO yang sebenar.
"Saya mendoakan semua yang berkenaan melepasi ujian jawatan, kedudukan dan pesona yang sedang mereka lalui ketika ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!