Kedah sumbang dron, penyaman udara mudah alih kepada polis
ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menyumbangkan empat dron dan 20 penyaman udara mudah alih bagi penugasan dan meningkatkan keselesaan anggota polis di negeri itu dalam tempoh pandemik Covid-19.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini, pihaknya telah menggunakan dron untuk memantau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tapak pembinaan Hospital Pendang dan Bukit Malut, Langkawi.
Menurutnya, pengunaan dron itu turut membantu polis membuat pemantauan dan mengesan penjenayah melalui udara serta penugasan lain termasuk Ops Bantu di dua daerah iaitu Kulim dan Yan.
"Selain itu, kemudahan penyaman udara mudah alih yang diterima polis Kedah itu akan diletakkan di beberapa khemah sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri ini, sekali gus berterima kasih atas sumbangan itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Peralatan dianggarkan bernilai RM50,000 yang disempurnakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Rabu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!