Nilai perdagangan borong, runcit merosot akibat Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan RM92.2 bilion pada Jun 2021, jatuh 10.3 peratus berikutan isu pandemik Covid-19 yang semakin teruk.

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia adalah pertumbuhan terendah yang dicatatkan pada tahun 2021.

Menurutnya, subsektor kenderaan bermotor paling terkesan dan merundum 92.4 peratus atau RM11.2 bilion untuk mencatatkan nilai jualan hanya RM0.9 bilion.

“Perdagangan runcit jatuh 2.9 peratus atau RM1.2 bilion kepada RM40.6 bilion dan sebaliknya perdagangan borong meningkat 3.6 peratus (RM1.8 bilion) untuk mencapai RM50.7 bilion.

“Penurunan 92.4 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Jun 2021 disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor yang merosot 94.8 peratus (RM6.4 bilion) kepada RM0.3 bilion.

“Jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor turun 88.2 peratus untuk mencatatkan RM0.3 bilion, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor turun 89.6 peratus kepada RM0.2 bilion diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang mencatatkan penurunan 92.3 peratus untuk mencapai RM0.1 bilion,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Uzir berkata, subsektor perdagangan borong meningkat 3.6 peratus bulan ini, disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang melonjak 17.2 peratus (RM3.0 bilion) kepada RM20.2 bilion.

“Jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup meningkat 2.9 peratus (RM0.1 bilion) kepada RM4.6 bilion, sebaliknya jualan borong makanan, minuman dan tembakau merosot 9.2 peratus diikuti jual borong berdasarkan yuran atau kontrak yang turun 22.5 peratus untuk perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan subsektor ini merosot 4.8 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Indeks jualan runcit sebarang jenis produk melalui internet yang menggambarkan aktiviti e-dagang merekodkan pertumbuhan 8.7 peratus tahun ke tahun (Mei 2021 sebanyak 15.8 peratus) dan bagi pelarasan musim, indeks ini jatuh 2.8 peratus berbanding bulan sebelum.

“Indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan penurunan 12.4 peratus tahun ke tahun dan penguncupan tersebut disebabkan oleh kenderaan bermotor merudum 92.8 peratus diikuti perdagangan runcit dan perdagangan borong jatuh 3.5 peratus serta 0.1 peratus dan bagi indeks volum pelarasan musim, ia menguncup 17.5 peratus bulan ke bulan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai.

"Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita dengan melayari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!