Masyarakat masih keliru SOP 'dine-in'

Rohaimi (kanan) membuat pemeriksaan bagi memastikan pelanggan di salah sebuah restoran pada Rabu mendapat suntikan penuh dua dos vaksin iaitu antara syarat SOP baharu dine-in.
Rohaimi (kanan) membuat pemeriksaan bagi memastikan pelanggan di salah sebuah restoran pada Rabu mendapat suntikan penuh dua dos vaksin iaitu antara syarat SOP baharu dine-in.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Segelintir masyarakat didapati masih keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu berkait kebenaran 'dine-in' yang dibenarkan bermula pada Selasa.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, hasil pemantauan pihaknya, kekeliruan itu secara tidak langsung menyebabkan segelintir pihak tidak mematuhi peraturan SOP 'dine-in' sebagaimana ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau mengeluarkan arahan supaya semua ketua polis daerah tidak mengenakan kompaun dalam tempoh tiga hari bermula Selasa bagi memberi kefahaman kepada pelanggan, pekerja serta majikan di premis-premis makanan dan minuman (F&B).

"Bermula hari pertama (Selasa), pihak kami sudah menjalankan pemantauan berkait pematuhan SOP di beberapa lokasi dan hasilnya kami juga berjaya mengesan beberapa kesalahan dilakukan dalam kalangan pengusaha premis makanan dan pelanggan.

"Namun buat masa ini tiada tindakan penguatkuasaan diambil bertujuan untuk mendidik orang ramai.

"Bagi memudahkan usaha ini, kami menubuhkan sebanyak 147 pasukan pemantauan yang akan digerakkan untuk memeriksa premis-premis di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas memantau restoran dan medan selera di pusat beli-belah, Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini, pada Rabu.

Mengulas mengenai siri lawatan pada Rabu itu, pihaknya lebih menumpukan kepada aspek penerangan berhubung SOP baharu terhadap peniaga dan pelanggan yang 'dine-in'.

Beliau menjelaskan, pihaknya turut mendapati semua tempat mematuhi SOP dengan pelanggan yang 'dine-in' telah mengambil dua suntikan vaksin penuh.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rohaimi berkata, dari segi pergerakan kenderaan pula, didapati setakat ini tiada sebarang pergerakan kenderaan ketara yang bergerak memasuki Terengganu.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan aktiviti 'dine-in' di premis kedai makan dan restoran di negeri ini dibenarkan bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!