China ‘jajah’ dunia Barat
TEKNOLOGI 5G ialah generasi terbaharu komunikasi mudah alih selular. Ia menggantikan sistem 4G, 3G dan 2G. Teknologi ini menyasarkan kadar data yang tinggi, kependaman dikurangkan, menjimatkan tenaga, kos dikurangkan, keupayaan sistem lebih tinggi dan sambungan peranti secara besar-besaran boleh dilakukan.
Akhirnya, teknologi 5G boleh memastikan sebuah kereta dibawa tanpa pemandu atau robot melakukan pembedahan tanpa bantuan. Ketika ini, China mendahului mana-mana negara dan dikatakan akan memperkenalkan teknologi 5G pada bila-bila masa sahaja.
Perkembangan ini amat menggusarkan kebanyakan negara besar seperti Amerika Syarikat, Britain, Kanada dan benua Eropah. Amerika bertindak lebih cepat dengan meminta rakan sekutunya agar jangan menggunakan peralatan Huawei buatan China. Kononnya peralatan Huawei dikatakan mampu untuk melakukan pengintipan seterusnya mencuri data penting termasuk sistem pertahanan sesebuah negara.
Pada 25 Februari lalu, London membuat andaian kononnya China bakal ‘menjajah’ negara-negara Barat melalui teknologi 5G. Laporan tersebut menyebut Barat perlu memahami cabaran revolusi teknologi China yang dianggap lebih jauh terkedepan sekali gus mewujudkan kebimbangan tentang isu ‘pencurian’ harta intelek dan pengintipan pertahanan negara lain.
Penulis sedar tentang keresahan yang melanda Amerika dan rakan sekutunya. Membesar pada era tahun 60-an dan 70-an, penulis sering menonton filem James Bond seperti `From Russian With Love’, `Moonraker’, `Dr. No’ atau `Diamonds Are Forever’ yang mempromosi kehebatan Amerika Syarikat, Britain dan rakan sekutunya dalam menentang Russia serta konco-konconya dalam Perang Dingin.
Apabila Huawei menjadi pengeluar peralatan telekom terbesar dunia, Amerika segera meminta pengawasan ketat dilakukan terhadap jenama tersebut. Dua hari lalu, Ketua Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan Britain (GCHQ), Jeremy Fleming, menegaskan kadar perubahan teknologi luar biasa itu yang ditunjukkan China menimbulkan ketidakpastian, ketidakstabilan dan risiko yang belum pernah terjadi sebelum ini.
GCHQ percaya cabaran strategik tempat China dalam era teknologi global boleh menimbulkan ancaman keselamatan. GCHQ ialah organisasi pengintipan dan keselamatan yang bertanggungjawab memberi isyarat perisikan dan jaminan maklumat kepada kerajaan serta angkatan bersenjata United Kingdom. Ia mempunyai hubungan erat dengan agensi keselamatan Amerika serta dengan agensi Australia, Kanada dan New Zealand dalam sebuah konsortium yang digelar ‘mata lima’ atau ‘Five Eyes’.
Penulis tahu bahawa 5G menawar kelajuan data lebih cepat dan menjadi batu asas bagi banyak industri. Ia berasaskan teknologi revolusioner. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi saat ini berkembang dengan pesat seiring dengan penemuan dan pengembangan ilmu pengetahuan dalam bidang ini sehingga mampu menciptakan peralatan mengikut perkembangan teknologi maklumat, bermula daripada sistem komunikasi sehinggalah alat komunikasi sehala mahupun dua hala (interaktif).
Kemajuan teknologi komunikasi sebenarnya adalah rahmat dalam kehidupan manusia. ALLAH juga telah menegaskan tentang perkara ini dalam al-Quran.
Surah Ar-Rahman [055:33] telah menyingkap segala tersirat firman ALLAH SWT yang disampaikan oleh Rasulullah SAW melalui al-Quran bermaksud: “Hai jemaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya melainkan dengan kekuatan.”
Sememangnya kejadian alam ini memberi banyak pembelajaran kepada manusia andai tahu mengkaji dan mengambil pengajaran mencipta sesuatu dengan menggunakan kebijaksanaan yang dikurniakan. Namun, jangan sampai melampaui batas kemanusiaan sebagaimana ALLAH nyatakan di dalam Surah Al-’Alaq [096:1-7] bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,: Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah; Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah; Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam; Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya; Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas; kerana dia melihat dirinya serba cukup.”
ALLAH melanjutkan ungkapan-Nya dalam Surah Al-Mulk [067:19] yang maksudnya: “Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.”
Berdasarkan surah di atas, penulis menyingkap kemampuan burung berkomunikasi daripada satu tempat ke satu tempat lain dengan kekuatan organ sayap dan bulu yang dapat terbang serta mengimbangi badan lebih ringan daripada tenaganya.
Dengan berasaskan kajian terhadap ayat al-Quran antaranya Surah Al-Baqara’ [02:258] bermaksud: “Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana ALLAH memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya ALLAH menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), ALLAH tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim,”
Justeru, apabila China mula ‘menjajah’ dunia melalui kehebatan pembangunan teknologi komunikasi, Barat dengan bingkas mahukan perkara ini dihentikan sebelum segala-galanya menjadi terlambat. Di Malaysia sendiri, penulis mencadangkan agar kita perlu bertindak pantas terhadap perkembangan teknologi komunikasi dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ini. Bak kata pepatah lama, gajah sama gajah bertembung, pelanduk perlu bijak mengambil kesempatan, jangan dibiarkan dirinya mati di tengah-tengah.
Dalam hal ini, apakah yang harus dilakukan oleh Malaysia. Apakah kita tidak mahu belajar sesuatu daripada China. Berdasarkan sebuah hadis yang dikatakan daif, nama China pernah disebut oleh Rasulullah. Kini, telah menjadi kenyataan bahawa China adalah kuasa terbesar dalam bidang teknologi komunikasi.
China telah membuktikan biarpun ia terlewat memasuki kancah perlumbaan teknologi komunikasi, namun kesungguhannya mencipta inovasi terkini menyebabkan Barat kini jauh ketinggalan. Berita terbaharu menyebut sebuah telefon bimbit premium buatan China kini mampu menjangkau harga US$3,000 (RM 12,196.50).
Perkara ini sungguh mengagumkan kerana sebelum ini telefon bimbit premium buatan Amerika sahaja yang dijual pada harga puluhan ribu ringgit. Jelas sekali Barat sedang dijajah oleh China.
* Penulis ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!