Program dapur zakat, Muip sedia dana RM5juta

Dr Asmadi meninjau program dapur zakat di masjid dan surau di sekitar Kuantan.
Dr Asmadi meninjau program dapur zakat di masjid dan surau di sekitar Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bagi menjayakan program dapur zakat melibatkan 663 masjid dan surau di Pahang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, program dapur zakat ini dilaksanakan sebagai alternatif golongan terputus bekalan mendapat bekalan keperluan asas di setiap masjid.

Menurutnya, bagi tujuan itu, bantuan kewangan RM1,000 telah diberikan kepada masjid dan surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat.

"Peruntukan kewangan ini akan digunakan jawatankuasa masjid dan surau terbabit untuk menyediakan bantuan keperluan asas.

"Barangan makanan ini akan disumbangkan kepada masyarakat setempat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan mereka boleh datang ke masjid atau surau untuk mendapatkan keperluan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau menjelaskan, sekiranya bantuan RM1,000 tidak mencukupi, jawatankuasa masjid dan surau terbabit boleh membuat permohonan tambahan.

Jelas beliau, pihaknya akan mempertimbangkan jika ada permohonan menambah bantuan kewangan.

"Program ini telah dilaksanakan pada Jun lalu dan kita lihat sambutan terhadap bantuan program dapur zakat begitu menggalakan terutama di beberapa masjid dan surau terletak di dalam dan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, pihak kita merasakan adalah perlu program ini dilaksanakan secara berterusan demi memastikan tiada masyarakat yang terpaksa menahan lapar kerana hilang punca pendapatan," katanya.

Sehubungan itu, Dr Asmadi meminta agar jawatankuasa masjid dan surau serta ketua kampung menghebahkan bantuan yang disediakan MUIP kepada penduduk setempat.

“Bagi penduduk bukan Islam yang memerlukan bantuan, pihak masjid dan surau boleh menggunakan infak tabung masjid untuk menyediakan keperluan diperlukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!