Sebutan semula kes Neelofa ditangguh lagi

Noor Neelofa dan suami, Muhammad Haris berdepan dakwaan pelanggaran SOP PKPB pada 20 Mei lepas. - Foto Bernama
Noor Neelofa dan suami, Muhammad Haris berdepan dakwaan pelanggaran SOP PKPB pada 20 Mei lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Sebutan semula kes membabitkan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mahkamah Majistret Seremban ditunda pada 24 September depan.

Peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Neelofa dan Muhammad Haris Mohd Ismail berkata, sebutan pengurusan kes ini terpaksa ditangguhkan berikutan Negeri Sembilan masih lagi berada di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa Pertama.

"Kes itu dijadualkan semula berikutan pematuhan kepada Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bil. 9 Tahun 2021.

"Tarikh baru yang kami terima pada 24 September," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan tarikh asal pengurusan kes Neelofa dan suaminya yang juga seorang pendakwah bebas ialah pada 23 Jun, sebelum ditangguhkan kepada 15 Julai disebabkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah sekali lagi menangguhkan pengurusan kes kepada 12 Ogos berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuat kuasa di Seremban.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.

Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!