'Angin kencang punca api cepat merebak'
KLANG - Sebuah kilang memproses plastik kitar semula di Lorong Sultan Mohamad 1,Bandar Sultan Sulaiman di sini musnah selepas hampir 90 peratus kawasan premis tersebut dijilat api dalam tempoh yang singkat pada malam Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sejurus tiba di lokasi sekitar jam 8.35 malam, pihaknya mendapati, keseluruhan kilang yang berkeluasan 91x183 meter persegi itu sedang dijilat oleh api yang marak.
“Pada peringkat awal, kami mengalami kesukaran untuk mengawal kebakaran berikutan angin agak kencang dan kandungan bahan mudah terbakar yang banyak di dalam kilang tersebut memudahkan api merebak.
“Buat masa sekarang (12 tengah malam) kita sudah berjaya mengawal api daripada merebak dan berdasarkan keadaan semasa kami jangkakan api akan berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh lima hingga enam jam lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan usaha memadamkan kebakaran tersebut melibatkan 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Pelabuhan Klang, Kota Raja, Sungai Pinang, Petaling Jaya, Subang, Kota Anggerik, Andalas, Serdang, Sungai Buloh, Seputih dan Shah Alam.
Mengulas lanjut, menurut Norazam, walaupun pihaknya berjaya mengawal kebakaran, premis bersebelahan kilang kitar semula berkenaan mengalami kerosakan minimum akibat bahang api yang marak.
“Sebelah kiri adalah tempat penyelenggaraan lori treler manakala kanan merupakan sebuah gudang dan kedua-duanya berjaya kami diselamatkan daripada kebakaran tersebut,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Kilang plastik terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!