SOP rumah ibadat untuk penerima lengkap vaksinasi
PUTRAJAYA - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menyelaras prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk penerima vaksin Covid-19 lengkap.
KPN menerusi kenyataan memaklumkan bagi negeri di Fasa Satu dan Dua PPN, kehadiran penganut yang lengkap vaksinasi bagi tujuan aktiviti keagamaan atau sembahyang adalah terhad kepada 50 orang pada satu-satu masa dengan waktu beroperasi dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 2 petang dan dari jam 4 petang hingga 10 malam.
Bagi negeri di Fasa Tiga PPN, had kehadiran penganut yang telah lengkap vaksinasi bagi aktiviti keagamaan atau sembahyang pula tertakluk kepada saiz ruang sembahyang rumah ibadat, manakala waktu beroperasi dibenarkan adalah dari jam 6 pagi hingga 2 petang dan dari jam 4 petang hingga 10 malam.
Menurut kenyataan itu, penerima vaksin lengkap merujuk kepada penganut yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac dan penganut berkenaan mesti melepasi 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua.
Bagi jenis vaksin Covid-19 yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, penganut berkenaan mesti telah melepasi 28 hari dari tarikh suntikan.
Negeri di Fasa Satu PPN ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah.
Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah berada di Fasa Dua PPN manakala Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak berada di Fasa Tiga. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!