Warga asing ditahan bersama dadah bernilai RM671,000

Fisol (dia dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang pada Khamis.
Fisol (dia dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN- Dua warga asing ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai RM671,000 dirampas dalam dua serbuan berasingan di Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah (SPT) dan Gelugor, di sini pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 56 tahun di sebuah rumah teres satu tingkat di SPT pada jam 10 malam.

Menurutnya, polis turut merampas 18.58 kilogram (kg) syabu, 12 gram pil eramin 5, 50 butir peluru jenis A USA 9 MM Luger, 56 liter cecair kimia dan peralatan memproses dadah.

"Rumah tersebut disewa suspek warga Myanmar itu sejak dua tahun lalu dan dijadikan tempat menyimpan dadah yang dipercayai diproses oleh ahli sindiket tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini pada Khamis.

Katanya, susulan penahanan itu, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun di sebuah kondominium di Gelugor pada jam 10.50 malam.

"Di kondominium tersebut, kita merampas 45.4 gram syabu. Siasatan mendapati, wanita warga Vietnam itu menyewa di kondominium tersebut sejak dua tahun lalu dengan sewa RM1,200 sebulan.

"Kedua-dua mereka ditahan selepas penahanan 10 ahli sindiket pengedaran dadah yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita di Lembah Klang, Selangor," katanya.

Difahamkan, wanita yang ditahan di Gelugor itu merupakan teman wanita kepada ketua sindiket yang ditahan di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Fisol berkata, pasport lelaki yang menetap di negara ini selama 10 tahun itu telah tamat tempoh sejak empat tahun lalu.

"Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak dua tahun lalu. Modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari Lembah Klang dan mengedarkannya di sini dan negeri di utara dengan menggunakan jalan darat serta laut.

"Kita masih menyiasat berhubung 50 butir peluru dirampas. Kita percaya, peluru itu digunakan ketika menjalankan kegiatan pengedaran dadah," katanya.

Katanya, polis menyita pelbagai jenis mata wang, jam tangan berjenama dan barangan kemas dengan nilai keseluruhan RM48,730.

"Nilai keseluruhan sitaan dan dadah yang dirampas berjumlah RM719,826. Semua dadah dirampas itu boleh digunakan lebih 93,250 penagih dadah.

"Ujian saringan air kencing suspek lelaki positif manakala suspek wanita negatif. Kedua-duanya tidak bekerja," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah 1952, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!