Perdana Menteri dengar taklimat hala tuju, kewangan Felda
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri pembentangan mengenai hala tuju dan keadaan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Pejabat Perdana Menteri di sini semalam.
Menurut akaun Twitter rasmi Perdana Menteri iaitu Chedetofficial, pembentangan tersebut dilakukan oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar dan Ahli Lembaga Pengarah Felda serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanggungjawab terhadap agensi tersebut.
Pada 26 Febaruari lalu, Othman mendedahkan hutang peneroka kini mencecah RM7.5 bilion dengan RM5.5 bilion hutang peneroka sudah dimuktamadkan, manakala RM2 bilion lagi belum dimuktamadkan.
Keadaan tersebut menyebabkan peneroka Felda kini berhadapan dengan dilema apabila pembayaran hasil penjualan kelapa sawit mengalami kelewatan termasuk bantuan sara hidup yang sepatutnya diterima pada setiap bulan.
Kontraktor-kontraktor yang menguruskan ladang-ladang Felda turut berhadapan masalah apabila tidak menerima bayaran bagi kerja-kerja mereka.
Sebelum ini, Mohamed Azmin memaklumkan dalam sesi Dewan Rakyat bahawa Felda sedang mengalami masalah aliran tunai yang amat kritikal akibat kelemahan dalam tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab.
Hutang Felda berjumlah RM8.025 bilion adalah legasi kepimpinan terdahulu berikutan terlalu banyak campur tangan politik dalam urus tadbir dan kerajaan PH akan membentangkan kertas putih Felda pada persidangan Parlimen pada penggal akan datang.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan dengan penjelasan Felda berkenaan hutang sebanyak RM8 bilion yang ditanggung agensi itu membuktikan segala dakwaan terhadap dirinya dan BN adalah fitnah.
Jelas Najib, kenyataan Othman itu merupakan kebenaran di sebalik penjelasan yang diberikan olehnya berkenaan hutang berkenaan sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!