Selangor pandang serius isu caj pengurusan kematian
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memandang serius laporan caj tinggi pengurusan dan pengebumian pesakit Covid-19 sama ada membabitkan agama Islam atau bukan Islam di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu sudah dibawa dalam mesyuarat Exco pada Rabu bagi memastikan dapat ditangani segera.
"Semalam, kerajaan negeri juga telah bincang perkara ini bersama dengan Exco Hal Ehwal Selain Islam negeri, V Ganabatirau untuk kita selaraskan perkara berkenaan," katanya pada sidang akhbar secara secara maya di sini pada Khamis.
Amirudin berkata, kerajaan negeri juga bersedia membantu proses pengurusan mayat bukan Islam sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga yang tidak berkemampuan.
"Siapa yang mampu untuk melaksanakan bayaran pengurusan mayat untuk proses tertentu kita tiada halangan, tetapi kerajaan negeri bersedia membantu mengurangkan beban mereka atau pun mengelakkan caj berlebihan dikenakan untuk pengurusan Covid-19," jelas beliau.
Menurut beliau, pada mesyuarat itu juga, kerajaan negeri sudah memutuskan terdapat lebihan peruntukan kuil di negeri ini bagi membantu proses pengebumian kaum India akibat Covid-19.
"Pelaksanaan ini akan diselaraskan oleh Ganabatirau dalam masa terdekat," katanya.
Amirudin memberitahu, selain isu kos caj pengurusan jenazah terlalu tinggi, pihaknya turut menerima aduan berhubung kelewatan proses pengebumian.
"Saya dimaklumkan, jenazah mereka yang beragama Islam dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam atau paling maksimum 36 jam.
"Bagaimanapun, bagi bukan Islam ia mengambil masa lebih lama iaitu sekitar dua atau tiga hari," katanya.
Katanya, perkara itu dalam pemerhatian serius pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak mengendalikan mayat bukan Islam.
"Kita tak mahu lagi ada rungutan itu cuma pada masa ini kita berdepan jumlah kematian yang tinggi di negeri Selangor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!