Pertimbang semula pembukaan sekolah pada September
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempertimbangkan semula cadangan pembukaan sekolah pada 1 September ini, susulan kes jangkitan Covid-19 yang direkodkan masih tinggi.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan membenarkan pelajar untuk kembali ke sekolah dalam keadaan sebegini bukan sahaja sangat berisiko, tetapi adalah tindakan culas dan tidak bertanggungjawab.
"Negeri seperti Selangor terus merekodkan jumlah kes yang sangat tinggi, melebihi 6,000 kes sehari secara konsisten.
"Di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan juga mencatatkan jumlah kes harian yang dilihat semakin meningkat dengan mendadak.
"Jika keputusan tersebut masih dikekalkan dikhuatiri akan memberi kesan kepada sistem kesihatan negara," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Pada 17 Julai lalu, KPM membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September depan.
Menurut KPM, perkara itu mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu Mohamad berpandangan, dengan bilangan ratusan ribu guru yang masih lagi belum melengkapkan dos vaksin Covid-19 dan remaja berumur 12 ke 18 tahun belum dibenarkan untuk mendapat vaksin, dilihat antara sebab sekolah tidak perlu dibuka pada masa terdekat.
Jelas beliau, sekiranya keputusan pembukaan sekolah itu masih dikekalkan secara menyeluruh dan serentak maka ia akan meletakkan sistem kesihatan pada tahap kelumpuhan yang serius.
"Justeru, berhentilah daripada membuat segala keputusan yang akhirnya mengancam kesihatan dan keselamatan pelajar, guru, keluarga serta masyarakat," katanya.
Sementara itu Mohamad berpandangan, bagi kawasan dan negeri berisiko rendah seperti di Perlis, Sarawak serta Labuan, pembukaan sekolah secara berperingkat boleh dipertimbangkan.
Ujarnya, untuk negeri berisiko tinggi, pembelajaran secara maya mesti diteruskan dan ditambah nilai buat waktu ini.
"Keputusan kementerian mesti disesuaikan dengan data dan kedudukan jangkitan serta vaksinasi.
"Pendekatan ‘one size fits all’ dalam keadaan yang sangat luar biasa seperti sekarang mesti dihentikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!