Penetapan had maksimum RON95 tak libat belanjawan tambahan
PUTRAJAYA - Penetapan had maksimum RM2.08 seliter bagi harga runcit petrol RON95 tidak akan melibatkan belanjawan tambahan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata penetapan itu diputuskan Kabinet selepas mengambil kira kemampuan kewangan hasil penjimatan yang dilakukan kerajaan.
“Penetapan harga siling RON95 masih di dalam kemampuan kewangan negara berdasarkan penjimatan melalui pentadbiran yang cekap dan telus.
“Saya rasa kita mampu kerana kalau kita lihat prestasi (kewangan) yang kita capai selama ini, kita ada sedikit penjimatan,” katanya mengulas mengenai sama ada keputusan itu akan melibatkan implikasi kewangan ekoran subsidi yang perlu ditambah akibat penetapan harga baharu tersebut.
Guan Eng berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Restu bagi tujuan pengurusan mencetak dan menyebar al-Quran oleh Kompleks Nasyrul Quran di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng mengumumkan had maksimum harga runcit petrol RON95 yang sebelum ini ditetapkan pada paras RM2.20 seliter, dikurangkan kepada RM2.08 seliter.
Menurut Guan Eng, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira trend harga sebenar pasaran produk petroleum yang semakin meningkat pada masa ini.
Ditanya sama ada pelaksanaan had baharu itu mempunyai tempoh tertentu, Guan Eng berkata ia masih bergantung kepada harga pasaran semasa, namun lebih utama langkah tersebut adalah untuk mengurangkan beban rakyat dalam mendepani isu kos sara hidup.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata tempoh penyerahan tender bagi penyewaan atau pemajakan kereta rasmi kerajaan berakhir hari ini.
Beliau berkata ia juga selari dengan berakhirnya tempoh lanjutan enam bulan yang diberikan kerajaan kepada Spanco Sdn Bhd (Spanco), konsesi yang diberikan hak memajak dan menyewa kereta untuk kegunaan rasmi kerajaan.
“Konsesi antara kerajaan Malaysia dengan Spanco yang dimeterai pada 30 Oktober 1993 telah tamat pada 31 Disember 2018.
“Kerajaan bagaimanapun telah melanjutkan tempoh itu kepada enam bulan bagi membolehkan proses tender terbuka dilakukan untuk memilih konsesi baharu,” katanya.
Guan Eng berkata jumlah syarikat yang memasuki tender belum dapat dipastikan sehingga peti tender dibuka petang ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!