Vaksinasi bantu Kedah beralih fasa dua pada Oktober
POKOK SENA - Sasaran imuniti kelompok sebanyak 70 peratus untuk Kedah dijangka dicapai pada Oktober depan dan diharapkan dapat membantu negeri ini beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, nilai ambang kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) tidak akan diambil sebagai kriteria untuk negeri ini beralih ke fasa kedua memandangkan mengambil masa lama dilaksanakan.
Menurutnya, kadar vaksinasi di Kedah ketika ini pula telah mencapai kira-kira 40 peratus untuk dos pertama manakala bagi dos kedua mencecah lebih 20 peratus.
"Ketika ini kita lihat jumlah penggunaan katil di ICU lambat (untuk berkurangan), jadi kita akan menggunakan kadar vaksinasi untuk ke fasa kedua. Penggunaan katil ICU di Kedah kini masih berada pada tahap melebihi 80 peratus.
"Kriteria (nilai ambang) ini mungkin akan diubah, tidak menggunakan penggunaan katil di ICU. Maknanya, kalau jumlah vaksinasi itu meningkat walaupun katil ICU kita nampak tinggi, kita akan pertimbangkan (vaksinasi) untuk capai nilai ambang yang ditetapkan.
"Kita mengharapkan sekiranya imunisasi ini dapat dilonjakkan pada kadar yang tinggi, mungkin (beralih ke fasa kedua) pada bulan Oktober," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) Dos Dua Daerah Pokok Sena di Kampung Bukit, dekat sini pada Khamis.
Seramai 350 penduduk di sekitar kawasan tersebut mendapat suntikan kedua hasil usaha yang digerakkan Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Mengulas lanjut, Mohd Hayati berkata, beliau berharap penduduk di negeri ini tidak lagi menangguhkan untuk mendapatkan suntikan vaksin sekiranya telah terpilih melalui aplikasi My Sejahtera.
Menurutnya, bagi perkembangan di Pulau Langkawi pula, hampir 50 peratus penduduknya telah mendapat suntikan pertama dos vaksin.
"Kita nak capai imuniti berkelompok di Langkawi sebab 'bubble tourism' dijangka dibuka kembali pada September," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!