Ada suami tidak izin isteri hamil suntik vaksin Covid-19: Zulkifli

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mendedahkan, ada suami yang tidak membenarkan isteri yang hamil mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menurutnya, beberapa aduan diterima pihaknya berhubung perkara itu.

"Ingin saya jelaskan bahawa vaksin Covid-19 adalah selamat," katanya dalam hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.

Beliau berkata, adalah menjadi hak setiap wanita untuk mendapatkan ikhtiar perlindungan daripada dijangkiti Covid-19 melalui program vaksinasi yang disediakan oleh kerajaan.

"Berbincanglah dengan baik dan saya pasti ramai pakar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sudi membantu untuk meleraikan pertanyaan dan kekeliruan berkenaan vaksin Covid-19," katanya.

Zulkifli berkata, hasil Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada Khamis bersetuju bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

"Sebagaimana yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, adalah amat penting pengambilan vaksin Covid-19 bagi ibu hamil dengan mengikut nasihat pegawai perubatan bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti wabak itu," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Rabu berkata, seramai 70 ibu hamil maut akibat komplikasi jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang Jun 2021, 17 kes kematian direkodkan di mana 15 kes belum divaksin dan dua kes menerima satu dos vaksin.

"Alhamdulillah, daripada 146, 759 orang ibu hamil yang mendaftar di MySejahtera, 20 peratus daripadanya telah lengkap menerima dua dos vaksin," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!