Muhyiddin sedia pastikan sidang DUN bincang kepentingan rakyat

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia mengambil tanggungjawab memastikan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor memberi tumpuan kepada isu berkaitan langkah menangani Covid-19 serta pemulihan ekonomi negeri itu dan bukan hal lain berhubung politik atau kepentingan sendiri.

Muhyiddin, menerusi hantaran di akaun rasmi Facebooknya, memaklumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dan dengan kapasiti yang ada padanya, beliau akan memastikan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diberi keutamaan serta diambil tindakan sewajarnya.

“Saya akan pastikan titah nasihat Tuanku diberi keutamaan dan diambil tindakan sewajarnya khususnya berkaitan usaha menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi negeri Johor dan juga negara.

“Segala titah pedoman dan titah nasihat baginda akan dijadikan panduan kepada saya dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, beliau dan ADUN lain bertanggungjawab untuk membantu rakyat sedaya upaya dengan penuh keikhlasan agar dapat menang bersama-sama dalam perang melawan pandemik Covid-19 ini.

Muhyiddin sebelum itu diterima menghadap oleh Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru bagi mempersembah perkembangan semasa isu dalam negara sebelum baginda berkenan untuk santapan tengah hari bersama.

Perdana Menteri turut menjunjung setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas perkenan Sultan Ibrahim itu.

Ketika merasmikan Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Yang Ke-14 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan berhubung peningkatan kes Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ia berikutan penularan varian baharu yang lebih berbahaya dan mudah berjangkit serta merebak kepada orang lain.

Sultan Johor turut menitahkan supaya Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat segera menangguhkan persidangan sekiranya penilaian kesihatan mendapati wujud risiko atau ancaman daripada pandemik itu.

Persidangan DUN Johor yang bermula hari ini, ditangguhkan sehingga Ahad depan (22 Ogos) untuk penilaian risiko Covid-19. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!