OECD unjur KDNK Malaysia berkembang 4.3 peratus
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah mencadangkan agar Malaysia memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai sebahagian daripada strategi fiskal jangka sederhana.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia adalah sesuatu yang harus dipertimbangkan oleh pembuat dasar apabila tiba masanya.
Beliau berkata Tinjauan Ekonomi Malaysia OECD 2021 telah mengemukakan beberapa saranan untuk merangsang pemulihan semula ekonomi dan meletakkan semula ekonomi negara pada landasan yang kukuh pasca pandemik.
“Antara cadangan itu adalah menyediakan strategi fiskal jangka sederhana pasca Covid-19 untuk mengurangkan hutang negara dan liabiliti bersyarat.
“Keadaan fiskal kita pastinya tegang sejak tahun lepas akibat kemerosotan ekonomi, penurunan mendadak hasil dan peningkatan perbelanjaan bagi program penjagaan kesihatan dan sokongan pendapatan,” katanya ketika pelancaran Tinjauan Ekonomi Malaysia OECD 2021.
Mustapa berkata, kerajaan akan sentiasa mengutamakan rakyat terutamanya pada masa yang diperlukan, namun ketika krisis ini reda dan keadaan kembali seperti biasa, Malaysia mesti mula mengembalikan ekonomi pada landasan fiskal yang mampan secara berperingkat.
OECD turut menyarankan agar negara memperluaskan perlindungan insurans kecederaan pekerjaan bekerja sendiri terhadap lebih banyak sektor.
“Mereka turut mencadangkan agar kita melibatkan pekerja pasaran tidak dikawal selia seperti pekerja platform gig dalam skin pencen di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Cadangan dalam ruang perlindungan sosial ini menyarankan Malaysia harus mengadaptasikan perubahan landskap sosio-ekonomi dan perlu melaksanakan peraturan yang berkualiti dalam pasaran tidak dikawal selia untuk melindungi pekerja Malaysia,” katanya.
Selain itu, OECD turut menyarankan agar Malaysia memperkenalkan cukai karbon dan meningkatkan kadarnya secara berperingkat dan pada masa yang sama mengurangkan impak cukai kepada golongan isi rumah mudah terjejas.
“Malaysia akan mempertimbangkan sebahagian daripada saranan OECD dan sekiranya sesuai, akan melibatkannya dalam dasar ekonomi jangka sederhana dan jangka panjang.
“Memandangkan Malaysia menempatkan kedudukannya untuk fasa pembangunan seterusnya, Tinjauan Ekonomi Malaysia OECD 2021 turut mengesyorkan langkah yang perlu diambil Malaysia agar berjaya dalam peralihan kepada negara berpendapatan tinggi dan mengekalkan pertumbuhan yang saksama di luar pandemik Covid-19.
“Ini seiring dengan aspirasi negara kita untuk mencapai taraf hidup yang sewajarnya kepada semua rakyat Malaysia,” kata Mustapa.
Pada sidang akhbar kemudiannya, Mustapa berkata, kerajaan telah memulakan usaha berhubung pembaharuan cukai.
Beliau berkata terdapat beberapa idea berkaitan cukai korporat, GST dan langkah kutipan cukai.
“Seperti dimaklumkan Alvaro Pereira (Pengarah Kajian Ekonomi Negara OECD), waktu (untuk memperkenalkan pembaharuan cukai) adalah tidak sesuai pada masa kini dalam keadaan krisis semasa.
“Ini bukanlah masa yang baik untuk melaksanakan pembaharuan cukai, tetapi saya ingin menyatakan bahawa kerajaan telah memulakan usaha untuk melihat beberapa pembaharuan dalam sistem cukai.
“Dalam data OECD, nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah agak rendah di Malaysia berbanding di negara-negara lain dan kita perlu mempelbagaikan,” katanya.
Mustapa berkata pencukaian adalah penting untuk membiayai pembangunan di negara ini di samping menggalakkan persaingan dan kecekapan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!