Pembantu tadbir kanan didakwa rasuah
KOTA KINABALU - Seorang pembantu tadbir kanan di Pejabat Daerah Kecil Sook, Keningau di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Khamis atas pertuduhan menerima suapan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM1,500 pada 2018.
Duati Gunggut, 55, didakwa menerima wang tunai itu yang didepositkan ke dalam akaun bank miliknya oleh Hendry Jassin sebagai upah untuk mempercepat permohonan bayaran pelaksanaan bagi dua projek membaiki jalan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Cawangan Keningau, Lot 11 dan 12 Blok C, Pasar Raya Foo Loong Keningau pada 12.59 tengah hari 20 Sept 2018 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Abu Bakar Manat membenarkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Sept sebagai sebutan semula kes.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh agar menyerahkan dokumen perjalanannya kepada mahkamah dan melaporkan diri dua bulan sekali di pejabat SPRM Keningau.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Rekraj Singh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!