'Anugerah ini bukan untuk saya tetapi buat semua penggali kubur'

Roslee melakukan tugas menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur.
Roslee melakukan tugas menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petugas Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, di sini tidak menang tangan menguruskan jenazah pesakit Covid-19 setiap hari.

Penggali kubur, Roslee Ali, 63, berkata, mereka menguruskan 20 hingga 30 jenazah Covid-19 setiap hari tidak termasuk jenazah bukan pesakit Covid-19.

Menurutnya, disebabkan itu mereka kini turut menggali kubur dengan bantuan jentera pengorek kaut bagi mempercepatkan urusan pengebumian.

"Pengebumian jenazah Covid-19 ini diselesaikan pada slot petang bermula jam 3 petang, paginya kami uruskan jenazah bukan pesakit Covid-19.

"Jika habis awal jenazah Covid-19, kami akan sambung lagi dengan jenazah biasa. Hari-hari memang sibuk dan tidak menang tangan," katanya.

Roslee memakai sut perlindungan diri ketika menguruskan jenazah Covid-19.
Roslee memakai sut perlindungan diri ketika menguruskan jenazah Covid-19.

Roslee yang dinobatkan sebagai penerima Tokoh Frontliner Khas Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021H itu berkongsi perkembangan tugasnya sebagai penggali kubur sejak pandemik Covid-19 melanda negara bermula tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penggali kubur terima Anugerah Tokoh Barisan Hadapan

Artikel Berkaitan:

Beliau yang tidak terfikir akan menerima anugerah tersebut berkata, niatnya menjadi penggali kubur didorong minat melakukan kerja-kerja seperti itu.

Bagaimanapun, Roslee bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menghargai tugas penggali kubur.

"Anugerah yang diterima ini bukan untuk saya seorang tetapi buat semua penggali kubur yang bertungkus lumus menguruskan jenazah pesakit Covid-19 sejak tahun lalu.

"Tanpa kawan-kawan tak mungkin saya mampu gali kubur sendirian kerana sekarang ini dari pagi sampai ke petang sibuk menguruskan jenazah," katanya.

Senarai penerima anugerah itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri secara langsung menerusi rancangan Assalamualaikum TV Alhijrah dan Facebook rasmi Jawi pada Khamis.

Penerima dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti daya kepimpinan dan teladan, sumbangan kepada masyarakat, sumbangan kepada organisasi dan sumbangan kepada peringkat negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!