PAUiTM, MPP gesa isu pelantikan Naib Canselor diselesaikan segera
SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggesa pihak berkaitan untuk menyelesaikan proses pelantikan Naib Canselor yang baharu dengan kadar segera.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, MPP UiTM berkata, mereka telah menggesa pelantikan Naib Canselor yang baharu semasa sesi libat urus bersama Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pengajian Tinggi pada 22 Jun 2021.
“Kami berpendapat bahawa lantikan baharu mampu memberikan impak signifikan yang positif kepada warga UiTM.
“Ketiadaan Naib Canselor menyebabkan sebarang keputusan universiti sukar untuk diputuskan kerana UiTM merupakan universiti terbesar di Malaysia dan Naib Canselor mempengaruhi semua keputusan yang dibuat,” katanya.
Sebelum ini, tular pelantikan Profesor Dr Roziah Mohd Janor sebagai Naib Canselor yang baharu.
Roziah kini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM memangku jawatan nombor satu institusi itu sejak Naib Canselor sebelum ini, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim tamat tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac lalu.
Bagaimanapun, menurut laporan media, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar mengesahkan surat penangguhan pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor.
Mengulas lanjut, MPP UiTM menambah, gesaan dibuat mereka demi kepentingan akademik universiti agar nama UiTM dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kami yakin dengan adanya Naib Canselor, mahasiswa UiTM akan bergerak dengan lebih aktif dan progresif.
“Akhir kata, kami sebagai wakil pelajar UiTM berharap agar pihak berkenaan mempercepatkan pelantikan Naib Canselor UiTM. Kami memerlukan Naib Canselor demi kepentingan dan kebajikan pelajar UiTM,” katanya.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia (PAUiTM) turut berharap hal berkaitan pelantikan Naib Canselor UiTM dapat diselesaikan dengan segera kerana mengambil kira kepentingan universiti itu yang memerlukan kepimpinan.
Setiausahanya, Shukri Ishak berkata, persatuan itu mengikuti perkembangan pelantikan Naib Canselor UiTM yang kosong sejak Februari lalu dan pelantikan Profesor Dr Roziah Janor untuk mengisi jawatan itu setelah melepasi proses pemilihan yang ketat oleh Jawatankuasa Khas Temuduga Kenaikan Pangkat Naib Canselor UiTM.
“Sehubungan itu, PAUiTM yakin bahawa Jawatankuasa tersebut telah membuat penilaian terbaik berdasarkan merit dan kelayakan serta mengangkat syor calon-calon selayaknya untuk pertimbangan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang seterusnya telah melantik Dr Roziah melalui surat bertarikh 2 Ogos 2021,” katanya.
Media melaporkan pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor UiTM yang baharu ditangguhkan melalui sepucuk surat yang bertarikh 7 Ogos lepas.
Beliau berkata, pelantikan Roziah yang pada masa ini merupakan Timbalan Naib Canselor yang menjalankan fungsi Naib Canselor menjadikan beliau sebagai Naib Canselor wanita pertama UiTM, sebuah institusi bumiputera terunggul sekali gus mendukung aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita di dalam pembuatan keputusan.
“PAUiTM juga berkeyakinan tinggi bahawa Jawatankuasa dan Menteri Pengajian Tinggi telah melihat kriteria kelangsungan kepimpinan dan kecemerlangan UiTM kerana Roziah masih berkhidmat dalam sistem UiTM,’” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, ini juga membolehkan UiTM merancang dan melaksana strategi yang lebih berkesan dan gandingan Roziah dan Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah sebagai Pengerusi UiTM pada ketika ini akan membawa universiti itu ke tahap yang lebih tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!