Pemimpin politik diseru hormati titah Raja-Raja Melayu: PUM

Datuk Abdul Halim Abdul Kadir
Datuk Abdul Halim Abdul Kadir
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) memohon seluruh rakyat Malaysia terutama pemimpin parti politik supaya menghormati titah Raja-Raja Melayu demi kestabilan pentadbiran negara.

Yang Dipertua PUM, Datuk Abdul Halim Abdul Kadir berkata, seruan tersebut dibuat setelah pihaknya merujuk kepada beberapa laporan media mengenai titah nasihat sultan negeri-negeri yang memberikan pandangan terhadap keadaan semasa politik di tanah air.

Menurut beliau, antaranya adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap pemimpin parti politik yang sentiasa memberikan tekanan untuk merebut kuasa dengan cara yang sedikit sebanyak mengganggu pentadbiran kerajaan.

"Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah juga menzahirkan perkara yang hampir sama di mana sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri tatkala negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Halim berkata, rakyat sudah bosan dengan gelagat pemimpin politik yang saban hari memikirkan untuk melakukan tindakan bagi mendapatkan kuasa dengan pelbagai cara termasuklah ada yang menarik sokongan kepada perdana menteri dan seumpamanya.

Tambah beliau, setiap tindakan yang dilakukan oleh semua pemimpin parti politik di negara ini mestilah selaras dengan undang-undang sedia ada.

Jelasnya, seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa perdana menteri telah secara terbuka menyatakan akan melakukan undi percaya di Parlimen pada September nanti.

"Jadi kenapa perlu untuk mendesak sedangkan komitmen telah dinyatakan dengan jelas?

Artikel Berkaitan:

"Hormatilah ruang yang diberikan di mana perdana menteri yang begitu terbuka menyatakan untuk mendapatkan keabsahan sokongan terhadapnya dan bakal ditentukan di Parlimen," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!