Penularan Covid-19 di tempat kerja punca lonjakan kes di Sabah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Penularan virus Covid-19 di sebuah pelantar minyak dan tapak binaan Hyatt Centric, di sini dalam kalangan warga tempatan, Filipina dan China antara punca lonjakan kes di Sabah sehingga mencecah 2,052 kes pada Khamis.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes positif itu melibatkan 209 pekerja di pelantar minyak dan 109 pekerja tapak binaan yang antaranya menjadikan jumlah kes baharu bagi daerah Kota Kinabalu amat tinggi iaitu sebanyak 635 kes.

"Daerah lain juga mengalami penambahan kes baharu yang tinggi antaranya Tuaran (126 kes), Tawau (178), Beaufort (86), Kota Belud (84), Lahad Datu (50), Ranau (44), Telupid (77), Sipitang (46) dan Tongod (21)," katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, dengan kes hari ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah kini adalah 100,031.

Beliau berkata, terdapat satu kluster direkodkan hari ini iaitu Kluster Batu Linting, Kuala Penyu melibatkan penularan Covid-19 dalam komuniti.

Katanya, kes indeks disyaki berpunca daripada majlis keagamaan pada 31 Julai lepas melibatkan seorang wanita berumur 34 tahun dikesan positif selepas melakukan ujian RTK Antigen.

Masidi berkata, daripada 45 sampel yang diambil, terdapat 29 kes positif termasuk lapan kes baharu hari ini yang dikesan di Kampung Bukit Linting, Kampung Mansud, Kampung Bundu dan Kampung Kupang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!