Tokyo 2020 bukan sekadar kisah pingat
ASPEK mental dalam kalangan atlet negara memerlukan perhatian serius dalam masa terdekat selepas berakhirnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum negara kembali menyahut cabaran baharu dalam temasya sukan besar tahun depan.
Menurut Pensyarah Psikologi dari Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Profesor Dr Salleh Abd Rashid, kegagalan beberapa atlet memberikan impak positif di Tokyo 2020 memerlukan penambahbaikan dan tindakan berbeza dengan segera supaya prestasi tidak terus merudum seterusnya merugikan negara.
Malah menurut Salleh, beberapa atlet Program Podium negara yang cemerlang semasa menyertai kejohanan atau sesi latihan luar negara, namun longlai di temasya Tokyo 2020 seharusnya tidak seharusnya berlaku selepas melakukan persiapan rapi dalam beberapa tahun sebelum ini.
“Saya tidak nafikan situasi norma baharu era Covid-19 tidak hanya memberi kesan besar terhadap kepada atlet Malaysia tetapi juga beberapa nama besar sukan lain dunia di Tokyo 2020.
“Namun untuk beberapa kes atlet negara pencapaian atau prestasi dalam acara yang disertai boleh menjadi ukuran kepada kebolehdayatahan mental atau psikologi dalam kalangan atlet mengharungi temasya besar era Covid-19.
“Prestasi atlet negara di Tokyo 2020 boleh diukur dengan pencapaian terbaik atlet sebelum ini selain perbandingan dengan pencapaian atlet negara pesaing terdekat sukan berkenaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Pada masa sama jelas Salleh dengan situasi mutasi varian pandemik Covid-19 di seluruh dunia tidak terkecuali Jepun, edisi Tokyo 2020 bukan lagi pentas pentas mengukur keupayaan mengutip pingat tetapi juga kekuatan mental dalam kalangan atlet.
“Berikutan pembolehubah ini yang berada di luar kawalan atlet, pencapaian atlet meraih pingat di temasya Tokyo 2020 bukan lagi satu ukuran keutamaan tetapi juga kemantapan mental atlet.
“Sebagai contoh prestasi jaguh pecut 100 meter wanita, Azreen Nabila Alias, pemanah, Syaqiera Mashayikh, penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri ini cukup membanggakan negara.
“Sebaliknya pencapaian merudum beberapa atlet berprofil tinggi berbanding sebelumnya menunjukkan sesuatu tidak kena dan perlu segera diperbetulkan bagi mengelaknya melarat pada masa depan,” katanya.
Biarpun begitu tambah Salleh, Kementerian Belia dan Sukan perlu melakukan menilai semula program latihan yang lebih kompetitif sekiranya serius mahu meraih pingat emas di Paris 2024.
Jelas Salleh, sememangnya diakui bahawa program latihan di luar negara memberikan impak positif terhadap pembangunan seterusnya karier seseorang atlet tersebut.
“Dalam kes Pandelela Rinong agak sedih persembahan terbaik yang ditagih untuk beberapa saat dalam acara tersebut musnah kerana kesilapan asas walaupun latihan sudah sekian lama dengan jumlah masa dan wang yang dilaburkan.
“Sejujurnya tiba masa untuk kajian semula terhadap latihan di luar negara bagi membolehkan dalam kalangan atlet lebih bersedia membiasakan diri dengan situasi sebenar kejohanan atau mendapat sparring atau saingan dengan atlet lebih berwibawa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!