Jika Covid-19 berlaku 20 tahun lalu

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

BAGAIMANA jika pandemik Covid-19 berlaku 20 tahun lalu? Ketika itu, penggunaan internet masih belum meluas dan tidak semua orang memiliki komputer peribadi.

Telefon pintar juga masih belum wujud, apatah lagi penggunaan aplikasi WhatsApp.

Sudah tentu untuk bekerja dari rumah (WFH) adalah mustahil. Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga tidak berlaku, sekali gus pendidikan anak-anak terus terabai.

Ketika itu aplikasi MySejahtera tidak wujud. Masuk ke mana-mana premis, setakat menulis nama dan nombor telefon di buku sahaja, selepas itu berhenti di situ tanpa pemantauan susulan.

Untuk mengikuti perkembangan Covid-19 juga tidak secepat sekarang kerana media sosial tidak menyeluruh, cuma bergantung kepada berita di televisyen atau surat khabar.

Tapi aturan ALLAH SWT itu terbaik. Covid-19 berlaku ketika kita mempunyai kemudahan-kemudahan tersebut.

Kita dapat bekerja dan belajar di rumah, mengesan risiko menerusi MySejahtera, malah membuat janji temu suntikan vaksin dengan mudah dan pantas.

Bahkan, dapat juga melepaskan rindu keluarga yang jauh menerusi panggilan video. Bagi majikan, mereka boleh bermesyuarat dengan staf menggunakan Google Meet.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, janganlah kita mengeluh dan berputus asa, sebaliknya perlu tabah serta sentiasa positif terhadap ujian ALLAH SWT yang menurunkan wabak Covid-19 ketika ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menjelaskan bahawa pencapaian Pelan Pemulihan Negara bagi Malaysia keluar daripada kemelut Covid-19 bergantung kepada sokongan semua pihak.

Bukan sahaja kerajaan, malah rakyat, NGO dan lain-lain pihak mesti bekerjasama serta memberikan sokongan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang merupakan strategi peralihan keluar daripada krisis kesihatan yang melanda negara sejak Mac tahun lalu.

Diharapkan tahun baharu Hijrah akan menghapuskan wabak Covid-19 di muka bumi ini. Jika kita bersemangat positif, insya-ALLAH Malaysia akan keluar daripada krisis kesihatan ini tidak lama lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!