‘Terserah MSN, John Beasley’
PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersikap terbuka dalam pemilihan pangkalan buat pelumba elit trek negara menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang termasuk Sukan Olimpik Paris 2024.
Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, pihaknya menyerahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan ketua jurulatih, John Beasley sama ada terus berlatih di Melbourne, Australia atau mengalih haluan ke tanah air.
“Ada yang bertanya perlukah Datuk Azizulhasni (Awang) dan Shah (Muhammad Shah Firdaus Sahrom) berlatih di Melbourne. Jawapan PKBM, kami serahkan kepada MSN dan John,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sejak beberapa hari lalu, timbul cadangan daripada pemerhati dan pengkritik sukan tanah air yang meminta MSN menjadikan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan sebagai pangkalan baharu skuad elit negara.
Mengulas lanjut, Abu Samah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN belum memanggil PKBM untuk mendengar pandangan rasmi persatuan itu berhubung post-mortem prestasi Azizulhasni dan Shah Firdaus pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“PKBM juga tak pasti apakah perancangan MSN dan Beasley. Misalnya, PKBM percaya acara pecut berpasukan boleh menjadi prospek medal Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik sekiranya mula berlatih daripada sekarang,” ujarnya.
Pada masa sama, Abu Samah menjelaskan, Muhammad Fadhil Mohd Zonis juga harus berlatih di Melbourne jika MSN dan Beasley memutuskan untuk membentuk kombinasi antara ketiga-tiga pelumba berkenaan.
“Namun, ada yang mencadangkan Fadhil berlatih di Nilai sahaja. Bagaimanapun, PKBM percaya jika Azizulhasni dan Shah berlatih di Melbourne, Fadhil juga perlu ke sana.
“Mereka perlu berlatih bersama-sama sekiranya mahu membentuk kominasi yang digeruni. Ini pandangan PKBM... apapun, PKBM belum dimaklumkan tentang perancangan MSN dan Beasley,” jelasnya.
Selepas menghadiahkan pingat perak menerusi acara keirin di Tokyo, Azizulhasni melaungkan keazamannya memburu kilauan emas pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Malah, PKBM sudah mula mencongak masa depan kombinasi pecut berpasukan menampilkan kombinasi Azizulhasni, Shah Firdaus dan Fadhil yang dilihat mampu menyerlah dalam masa terdekat.
Fadhil antara permata baharu dalam skuad lumba basikal trek negara selepas mengungguli ranking teratas dunia acara ujian masa lelaki pada Mei lalu.
Melihatkan keampuhan trio Azizulhasni, Shah Firdaus dan Fadhil, bukan sesuatu yang mustahil buat mereka mencipta kejutan jika mampu menyambar tiket Olimpik Paris 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!