Demi maruah Malaysia, KHM mohon pertimbangan MKN

S Shamala
S Shamala
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat memberikan kelonggaran kepada skuad negara menjalani latihan intensif sebagai persiapan mengharungi Piala Dunia Remaja di India dari 24 November hingga 5 Disember depan.

Timbalan Presiden KHM, Datuk Dr S Shamala berkata, pertimbangan sewajarnya perlu diberikan MKN kerana ia merupakan peluang terbaik untuk skuad remaja negara membuktikan kemampuan mereka beraksi pada kejohanan tersebut.

“Pemain-pemain remaja kini berada dalam keadaan teruja untuk mengharumkan nama negara setelah mendapat perkhabaran layak ke Piala Dunia Remaja, namun mereka kini perlu segera kembali semula ke padang selepas kali terakhir menjalani latihan pada Julai lalu.

“Mengambil kira tempoh masa persediaan singkat ini, saya harap MKN dapat memberikan pertimbangan yang KHM usulkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkan skuad remaja menjalani latihan hujung bulan ini.

“Adalah sesuatu yang amat merugikan sekiranya pemain-pemain remaja kita yang bersemangat ini tidak dibenarkan menjalani latihan lebih rapi sebelum berdepan jagoan hoki dunia di India,” katanya ketika dihubungi Sinar Sukan pada Khamis.

KHM sebelum itu mengesahkan skuad lelaki negara layak beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja berdasarkan kiraan mata yang dilakukan Persekutuan Hoki Asia (AHF) selepas pembatalan Kejohanan Remaja Asia.

Kiraan mata itu menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ketiga dengan 57.6 mata di belakang India (62.3 mata) yang turut layak sebagai tuan rumah selain Pakistan (56.1 mata) dan Korea Selatan (55.1 mata).

Pada masa sama Shamala menegaskan KHM kini bersiap sedia pelbagai perancangan dengan berbaki dua bulan setengah terakhir ini bagi memastikan skuad bimbingan Wallace Tan berada pada tahap terbaik sebelum mengharungi kejohanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang penting sekarang pemain-pemain remaja kita perlu kembali ke padang bagi menjalani latihan bagi mengembalikan semula tahap kecergasan mereka selain memudahkan mereka memahami perancangan taktikal coach Wallace.

“Kami juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan untuk menguji selain memperbaiki kelemahan pasukan sebelum kejohanan bermula.

“Jadi untuk mengharungi baki tempoh dua bulan setengah sebelum temasya Piala Dunia Remaja bermula, KHM amat berharap MKN dapat mempertimbangkan permohonan untuk skuad negara menjalani latihan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!