Jaipk larang Himpunan Bantah Hina Nabi di masjid
IPOH - Orang ramai dilarang menjadikan kawasan masjid dan surau sebagai lokasi berhimpun.
Peringatan itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) sempena Himpunan Bantah Hina Nabi SAW yang diadakan secara serentak di seluruh negara, esok.
Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, langkah itu bagi mengelak timbulnya kekecohan dan suasana tidak aman yang mungkin timbul berikutan kehadiran peserta yang ramai.
"Tiada larangan untuk umat Islam menganjurkan perhimpunan seumpama itu, namun ia perlu mematuhi adab dan peraturan-peraturan masjid.
"Menggunakan pekarangan masjid sebagai lokasi perhimpunan adalah dilarang sama sekali," katanya.
Menurutnya, apa juga jenis perhimpunan terutama yang berkaitan prinsip dan perjuangan agama perlu dilakukan dalam suasana harmoni.
"Tambahan pula, dalam kes ini tindakan telah pun diambil oleh polis," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan bantah hina nabi Jumaat iniBeliau berkata demikian bagi mengulas mesej tular mengenai penganjuran Himpunan Ummah di Masjid Al Athar, Kampung Masjid Tinggi, Bagan Serai, esok.
Himpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas solat Jumaat itu antara lain mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang berdepan dua pertuduhan menghina Nabi Muhammad dan isteri, Aisha Abu Bakar dengan karikatur berunsur penghinaan, minggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!