Isu pewarisan antara cabaran terbesar perniagaan keluarga

Ariffin Sabirin
Ariffin Sabirin
A
A
A

SHAH ALAM - Isu pewarisan merupakan antara cabaran terbesar dihadapi dalam pengurusan perniagaan keluarga di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin berkata, kebanyakan pemilik perniagaan keluarga tidak memiliki pengetahuan tepat berkenaan pembahagian harta pusaka, khususnya saham dan pemilikan perniagaan mereka kepada waris yang berhak.

Beliau berkata, kesukaran dan ketidakpastian berhubung pembahagian harta pusaka itu berpotensi untuk menjejaskan perniagaan dan pemilikan sesebuah perniagaan yang dibina sesebuah keluarga.

“Jadi cabaran terbesar kepada orang Islam adalah kerana apabila berlaku kematian ayah atau ibu. Mungkin semasa hidupnya mereka melatih anak tertentu untuk menguruskan perniagaan dengan harapan mereka inilah meneruskan legasi mereka.

“Dalam masa sama, ada anak lain yang tidak dilatih untuk menceburi bidang perniagaan tersebut. Bagi anak yang sudah terlatih ini, mereka tahu dan terdedah dengan aspirasi sesebuah perniagaan keluarga itu.

“Tapi cabarannya adalah untuk anak yang tidak terdedah ini. Ada yang mungkin ambil jalan singkat menjual saham tersebut terutamanya jika syarikat itu berdaya maju. Maka dengan itu, akan hilanglah pegangan saham daripada sebahagian ahli keluarga tersebut,” katanya ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian edisi ke-280 bertajuk ‘Cabaran Legasi Perniagaan Keluarga’ pada Khamis.

Wacana tersebut turut menampilkan Pengarah Inovasi Akademik UniRazak, Profesor Dr Mohar Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif BinaPavo, Dr Leilanie Mohd Nor sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Arifin berkata, mengikut hukum pembahagian dalam Islam, hak pewarisan bukan hanya meliputi kepada pasangan dan anak sahaja, malah merangkumi keluarga terdekat yang lain termasuk saudara-mara.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, pemilik sesebuah perniagaan keluarga seharusnya berusaha untuk seimbangkan antara perancangan harta dan juga operasi jangka panjang perniagaan untuk generasi akan datang.

“Jadi, ayah itu sendiri (pemilik perniagaan) semasa hidup dia perlu menentukan dan buat keputusan bagaimana perniagaan itu hendak dijalankan pada 50 tahun atau 100 tahun akan datang.

“Bagaimana perniagaan itu selepas ayahnya meninggal dunia kelak, akan terus berjalan dan terus memberi manfaat kepada semua pemegang taruh, pengarah syarikat, pekerja dan masyarakat secara umumnya,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!