Lelaki dikhuatiri lemas kereta terjunam ke dalam sungai
MUKAH - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh penghadang besi jambatan yang sedang dalam pembinaan lalu terjunam ke dalam Sungai Batang Lassa, Daro di sini pada Jumaat.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daro digerakkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan pada kira-kira jam 4.45 pagi.
Apabila tiba di tempat kejadian, bomba mendapati kenderaan yang dipercayai dipandu Kevin Lau Beng Song, 25, yang berasal dari Ulu Sungai Merah, Sibu telah tenggelam di hujung jambatan tersebut, 800 meter dari daratan.
“Maklumat awal yang diterima menyatakan saksi melihat Toyota Hilux berwarna perak tersebut sedang bergerak di atas jambatan itu dan tiba-tiba hilang dari pandangan.
“Saksi mendapati pagar yang menjadi penghalang keselamatan pada hujung jambatan telah patah dan mengesyaki kenderaan tersebut jatuh dan tenggelam ke dalam sungai,” menurut kenyataan tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan menggunakan tiga bot tunda milik pemaju projek jambatan tersebut manakala Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Sibu juga diminta bersiap-siaga untuk digerakkan bagi membantu operasi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!