Pemandu ambulans HEBHK Kluang maut
KLUANG - Seorang pemandu ambulans Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di KM82 Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Fadli Ahmad, 43, yang memandu kereta Proton Persona.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu oleh mangsa dari arah HEBHK menghala ke Kluang dipercayai memasuki ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan dan tepi kanan sebuah kereta Perodua Myvi.
"Akibat pelanggaran tersebut, kereta mangsa kemudian terus bertembung pula dengan sebuah kereta Mazda dari arah Kluang menghala ke HEBHK sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan," katanya.
Menurutnya, mangsa yang beralamat di Taman Austin Perdana, Johor Bahru kemudian dibawa ke Unit Forensik HEBHK untuk dibedah siasat manakala pemandu Perodua Myvi yang berumur 72 tahun dan pemandu Mazda berumur 45 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan kemalangan merupakan jalan berselekoh yang mempunuai dua hala dan dua lorong serta permukaan jalan adalah rata, terang dan kering sewaktu kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saya meminta saksi atau pengguna jalan raya yang melihat kejadian ini untuk tampil membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!