Yadim, 130 NGO Islam MAIM desak pemimpin henti bertelagah

Nasrudin
Nasrudin
A
A
A

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan 130 rakan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bersama dalam Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) menyeru semua pihak terutama pemimpin untuk berhenti bertelagah dan berebut kuasa ketika ini kerana ia hanya akan memecahbelahkan negara.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, Yadim menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyeru kepada semua pemimpin di negara ini supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak ALLAH SWT.

"Titah baginda bahawa semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah.

"Keselamatan dan kesihatan rakyat sepatutnya menjadi keutamaan tertinggi pemimpin negara ketika ini, bukannya untuk berebut kuasa bermusuhan sesama sendiri," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sultan Ibrahim pada Khamis memberi peringatan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor agar tidak menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai medan perbalahan dan merebut kuasa.

"Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan sangkar beruk," titah baginda ketika pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 di Kota Iskandar.

Mengulas lanjut, Nasrudin memberitahu, pada masa yang sama, titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa ketika ini bukan masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19 adalah sangat tepat dan perlu dijunjung semua.

Tegas beliau, jika Raja-raja Melayu sendiri sudah bersuara kerana prihatin dan khuatir dengan keadaan semasa, maka amat wajarlah semua pihak di negara ini mendengar dan taat kepada titah mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bercakaran merebut kuasa bukan sahaja merugikan rakyat dari segenap sudut malah memalukan negara pada pandangan pihak luar.

"Pemimpin yang bercakaran menghabiskan lebih banyak masa dan tenaga untuk kepentingan sendiri, hingga tanggungjawab membela rakyat semakin diabaikan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!