Burung kakak tua, Sun Corner, ayam laga tidak sempat dijual
RANTAU PANJANG - Seekor burung kakak tua, anak burung Sun Corner dan ayam laga dengan nilai keseluruhan RM65,000 dirampas Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dalam satu serbuan di Pengkalan Haram Sota, Jeram Perdah pada Khamis.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan berkata, ketika serbuan pada jam 7.30 malam itu, sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak dan bakul dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota kami menghampiri kumpulan lelaki berkenaan dan mereka bertindak melarikan diri dengan menaiki perahu ke negara jiran dan meninggalkan kotak serta bakul di lokasi itu.
"Burung dan ayam laga berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran sekitar Kelantan kerana haiwan berkenaan mempunyai peminat tersendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, burung kakak tua tersebut dianggarkan bernilai RM35,000, anak burung Sun Corner sebanyak 10 ekor bernilai RM10,000 dan empat ekor ayam laga bernilai RM20,000.
Beliau berkata, laporan polis mengenai rampasan tersebut telah dibuat Balai Polis Jeram Perdah dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!