Kes tembakan: Jenazah dua anggota TUDM tiba di rumah mayat HUS

Mayat salah seorang anggota TUDM tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak. - Foto Astro AWANI
Mayat salah seorang anggota TUDM tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak. - Foto Astro AWANI
A
A
A

KUCHING - Mayat dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam insiden tembakan di Kem Skuadron 330 TUDM Kuching di Kota Samarahan selamat tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) kira-kira 12.45 tengah hari tadi.

Dua lagi mayat difahamkan masih berada di Pusat Jantung Kota Samarahan dan akan dihantar ke HUS untuk tindakan lanjut.

Antara mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat, 26, Koperal Udara Nesly Nabau, 27, Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 29, dan Koperal Udara Ho Sweet Boon.

Kesemua mangsa terkorban dalam insiden tembakan yang dipercayai berlaku pada 7.15 pagi di Balai Pengawal Handau SSN 330 TUDM Kota Samarahan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi berkata salah seorang anggota TUDM yang merupakan suspek datang ke balai pengawal lalu menembak tiga rakannya sebelum bertindak menembak diri sendiri.

Beliau berkata, dua rakan yang ditembak maut serta merta di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera parah.

Mangsa yang cedera parah sempat memandu kenderaan sendiri bagi mendapat rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan sebelum dilaporkan meninggal dunia. - Sumber Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!