Jasa bekas pejuang dihargai

Venugopal turut diberi pemeriksaan kesihatan percuma daripada HPUPM
Venugopal turut diberi pemeriksaan kesihatan percuma daripada HPUPM
A
A
A

Pengorbanan anggota keselamatan khususnya anggota tentera menentang kezaliman penjajah merupakan satu perjuangan yang perit dan perlu diingati oleh rakyat Malaysia.

Bagi memperingati jasa mereka, Sinar Harian dengan kerjasama LBS Bina Group Berhad (LBS) melancarkan program Jejak Wira bagi menyantuni veteran pejuang kemerdekaan di samping menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama ketika musim pandemik ini.

Ia selaras dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 31 Ogos dan 16 September ini.

Program pertama Jejak Wira memberi peluang kepada warga Sinar Harian dan LBS bersua muka dan bertanya khabar pesara tentera, Venugopal A/L Munusamy, 74, di kediaman anaknya di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Venugopal menerima sumbangan RM2,000 ketika kunjungan mesra pasukan Jejak Wira Sinar Harian dan LBS
Venugopal menerima sumbangan RM2,000 ketika kunjungan mesra pasukan Jejak Wira Sinar Harian dan LBS

Venugopal menerima sumbangan sebanyak RM2,000 daripada pihak Sinar Harian dan syarikat LBS sebagai tanda menghargai jasanya, di samping meringankan beban beliau yang kini berdepan dengan masalah patah tulang kaki sebelah kiri, kencing manis dan darah tinggi.

Venugopal mula menceburkan diri sebagai anggota tentera pada tahun 1966 dan menamatkan perkhidmatan pada tahun 1971.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sepanjang lebih lima tahun berkhidmat terdapat pelbagai kenangan pahit manis yang dapat dirasai ketika itu.

“Pengalaman menjadi askar macam biasa kita ada latihan dan sebagainya. Saya suka dengan kerja saya sebab dapat jumpa dengan pelbagai jenis ragam manusia.

“Dengan menyertai British Army di Singapura, saya juga dapat berkomunikasi dengan mereka yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Kita bergaul dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Gambar kenangan Venugopal dan wira negara ketika berkhidmat sebagai anggota tentera
Gambar kenangan Venugopal dan wira negara ketika berkhidmat sebagai anggota tentera

Ketika diminta menceritakan sejarah keadaan sehingga bergelar orang kurang upaya (OKU), menurut Venugopal ia berlaku selepas dia terlibat dalam sebuah kemalangan pada tahun 1997.

“Saya mengalami masalah pendarahan sangat teruk. Sembilan kali saya menjalani pembedahan, namun keadaan saya tetap tidak dapat sembuh 100 peratus. Sampai sekarang tak boleh berjalan, kena bergantung dengan tongkat,” katanya.

Sewaktu kunjungan itu, Venugopal turut menerima pemeriksaan kesihatan secara percuma daripada pihak Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

ABDUL HADI
ABDUL HADI

Pakar Perubatan Keluarga dari HPUPM, Dr Abdul Hadi Abdul Manap yang membuat pemeriksaan berpuas hati dengan tahap kesihatan venugopal.

Bagaimanapun katanya, masalah kencing manis yang dihidapi Venugopal perlu diperbaiki terutama dari segi kawalan pemakanan dan juga pengambilan ubat.

“Saya sarankan beliau supaya mengurangkan kadar pengambilan makanan yang mengandungi gula yang tinggi.

“Dari segi pengambilan ubat pula, mestilah betul dan tepat. Jangan ambil ubat yang tidak disyorkan oleh pakar kesihatan.

“Kita khuatir ada kesan sampingan yang tidak diingini seperti kerosakan buah pinggang sekali gus menyebabkan masalah kencing manis atau darah tinggi yang dialami beliau tidak dapat dikawal dengan baik,” ujar Abdul Hadi.

LBS prihatin

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN

Bagi meraikan hari penting negara tidak lama lagi, Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh wira negara sama ada yang sudah bersara seperti Venugopal mahupun yang sedang berkhidmat.

Menurutnya, rakyat harus memahami betapa pentingnya menghargai wira-wira negara kerana mereka ini telah membina asas kepada kemakmuran yang kita kecapi hari ini.

Seiring dengan matlamat LBS untuk memperkasakan individu dan meningkatkan komuniti, LBS berharap program sebegini dapat memberi sinar baharu kepada anggota-anggota veteran tersebut sekali gus berharap agar program seperti ini diteruskan pada masa hadapan.

“LBS ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung terima kasih kepada Venugopal atas segala jasa beliau kepada negara. Kami berdoa agar beliau terus dikurniakan kesihatan yang baik,” ujarnya.

FARIDAH
FARIDAH

Sementara itu, Yang di-Pertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Selangor, Faridah Mat Hussin pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sinar Harian dan juga LBS kerana sudi menaja sebanyak RM2,000 serta rawatan kepada empat anggota veteran yang memerlukan bantuan dan sokongan.

“Walaupun saya bukan yang terawal atau barisan hadapan yang berjuang demi kemerdekaan, tetapi saya faham penat lelah, pengorbanan dan risiko yang diambil oleh para pejuang.

“Inilah masa dan ketikanya kita kena menghargai perjuangan mereka, jangan pinggirkan mereka seorang diri,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!