10 beradik yatim piatu angkara Covid-19
SHAH ALAM - 10 beradik yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara di sini menjadi yatim piatu dalam sekelip mata apabila ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menziarahi keluarga itu memaklumkan, adik-beradik itu pada mulanya kehilangan bapa, disusuli ibu mereka empat hari kemudian.
"Sedihnya, dapat khabar ini apatah lagi kedua-dua arwah ini meninggalkan anak angkat berusia dua dan tiga tahun yang masih kecil," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook LZS pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan rekod LZS keluarga terbabit merupakan asnaf Zakat Selangor sejak tahun 2015.
"Kami melawat anak-anak ini dan cuba memberikan kata-kata semangat buat mereka sambil menyampaikan sumbangan pek bakul makanan.
"Anak-anak ini memaklumkan, terdapat tunggakan sewa rumah, Insya-ALLAH LZS akan bantu selesaikan," katanya.
Menurut LZS, pihaknya juga telah meluluskan bantuan khairat kematian kedua-dua arwah ibu dan bapa keluarga berkenaan.
"Keluarga ini menerima bantuan khairat kematian keseluruhan berjumlah RM3, 000 iaitu RM1, 500 untuk ibu dan bapa mereka yang meninggal dunia," katanya.
Selain itu, katanya, LZS juga akan kemas kini maklumat ketua keluarga kepada waris anak kedua arwah bagi meneruskan bantuan yang mereka terima sebelum ini.
"Duit memang tidak boleh gantikan nyawa yang telah pergi, tapi kami harap dengan bantuan zakat ini, sedikit sebanyak mampu membuatkan anak-anak ini untuk terus hidup biarpun berdepan ujian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!