Terjemahan al-Quran versi Mandarin, mudah dihayati - Mujahid
PUTRAJAYA - Usaha menerbitkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran Versi Mandarin oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dilihat memudahkan umat Islam memahami dan menghayati al-Quran dalam pelbagai bahasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, usaha itu amat penting sebagai satu medan dakwah yang sentiasa perlu diterokai pada hari ini.
Menurutnya, dengan iltizam yang tinggi, kerajaan akan teruskan langkah-langkah seperti itu agar seluruh rakyat di negara ini dapat menerima dari sekecil-kecil manfaat sehingga sebesar-besarnya sesuai gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diperkenalkan.
“Projek penerbitan tafsir al-Quran versi Mandarin itu, dapat membantu masyarakat khususnya masyarakat Cina untuk memahami al-Quran sama ada Muslim mahupun bukan Muslim.
“Antara kelebihan Tafsir Pimpinan edisi Mandarin adalah penggunaan bahasa yang mudah berbanding kitab tafsir yang diedarkan oleh Arab Saudi yang menggunakan terjemahan perkata agak sukar untuk difahami.
“Penggunaan Tafsir Pimpinan Rahman mudah difahami oleh pelbagai peringkat umur samada yang masih baru atau telah lama memeluk Islam”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau juga memuji kerjasama strategik Jakim dengan pelbagai NGO Cina Muslim dalam menjayakan misi dakwah selama ini dan beliau berharap kerjasama itu terus subur dan membuahkan manfaat lebih besar untuk masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Dalam pada itu, Mujahid turut mencadangkan agar Jakim dapat menerbitkan Tafsir Pimpinan al-Rahman versi baharu yang lebih berkualiti, menarik dan mesra pengguna.
“Hal ini penting supaya kitab ini dapat dimanfaat lebih menyeluruh dan bersesuaian dengan konsep Rahmatan Lil Alamin yang diperkenalkan oleh Kerajaan,” katanya.
Di majlis sama Mujahid turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) e-Braille al-Qur’an antara kerajaan Malaysia dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut beliau, kerjasama antara agensi tersebut bagi memasukkan Tafsir Pimpinan Ar Rahman ke dalam e-Braille yang merupakan sebuah mesin taip braille elektronik berteknologi tinggi yang mula dibina oleh UTM sejak 2009 lagi.
“Peralatan ini telah berjaya dihasilkan pada tahun 2016 dengan kos RM 17,000 sebuah dan dengan kejayaan memasukkan Tafsir Pimpinan Ar Rahman ke dalam e-Braille ini nanti akan dimanfaatkan oleh orang kurang upaya (OKU) penglihatan untuk memahami dan menguasai al-Quran.
“E-Braille boleh diakses dengan mudah di Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Kuala Lumpur, Pertis Cawangan Terengganu dan Sekolah OKU Penglihatan di Setapak, Kuala Lumpur,” katanya.
Mujahid berkata, kitab tafsir yang dimasukkan ke dalam e-Braille itu juga, pastinya dapat membantu generasi OKU penglihatan Muslim untuk menguasai ilmu tafsir al-Quran dengan lebih cepat dan usaha itu jelas membuktikan bahawa kerajaan begitu prihatin dalam usaha menyantuni ummah khususnya melibatkan golongan kurang upaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!