PN setuju berunding dengan parti luar kerajaan untuk lulus undi percaya: PM

Muhyiddin dalam perutusan khas, sebentar tadi.
Muhyiddin dalam perutusan khas, sebentar tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar kerajaaan untuk meluluskan usul undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Ketetapan ini dibuat memandangkan tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri baharu.

Menurutnya, ia bagi membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

“Sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

“Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri. Ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh.

“Sedangkan tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting. Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya,” katanya semasa ucapan khas Perdana Menteri bersama memulihkan negara pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usul undi percaya hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat.

Tambahnya, kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Artikel Berkaitan:

“Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik. Covid-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah.

“Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.

“Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!