KPDNHEP sita 232 termometer tiruan bernilai RM25,270
PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 232 unit termometer tiruan bernilai RM25,270 dalam serbuan di Klang, Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan pada 5 dan 11 Ogos lepas itu dibuat susulan maklumat serta aduan daripada wakil pemilik cap dagang barang berkenaan selepas mendapati produk yang disyaki tiruan itu dijual secara dalam talian.
“Modus operandi adalah dengan mengiklankan termometer menggunakan jenama popular dengan harga lebih murah daripada harga pasaran bagi menarik perhatian pembeli,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, keterangan telah diambil daripada dua lelaki tempatan yang mengaku sebagai pemilik kediaman dan gudang yang menyimpan termometer terbabit.
Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!