Pasaran pekerja di Malaysia akan pulih pada kadar sederhana
PASARAN buruh Malaysia dijangka pulih pada tahun 2022 walaupun pada kadar lebih sederhana selepas menyaksikan prospek 2021 yang lebih lemah, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ia seiring dengan kemajuan program vaksinasi yang bergerak lebih pantas dan jangkaan bahawa sekatan perjalanan akan, ia akan menyokong peningkatan dalam aktiviti ekonomi.
“Petunjuk pasaran buruh dalam dua bulan pertama suku kedua menunjukkan peningkatan secara berterusan.
"Bagaimanapun, pelaksanaan sekatan pergerakan penuh telah menjejaskan pemulihan pada bulan Jun dan akibatnya, jumlah pekerjaan menurun pada suku kedua sebanyak 29,000 orang manakala kadar pengangguran meningkat pada 4.8 peratus," katanya pada sidang akhbar mengenai laporan 'Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada suku kedua 2021', laporan itu dikeluarkan pada Jumaat.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pekerja yang bekerja pada bulan Jun 2021 menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 15.3 juta orang (berbanding 15.37 juta pada Mei 2021) dengan nisbah pekerjaan-kepada penduduk merosot 0.4 mata peratusan kepada 65 peratus.
Menjelaskan lebih lanjut, Nor Shamsiah berkata, pengguna, pelancongan dan perkhidmatan berkaitan perjalanan terus menghadapi keadaan mencabar daripada sekatan perjalanan penuh yang berpanjangan dan BNM menjangkakan sektor-sektor ini akan pulih pada kadar lebih perlahan berbanding dengan sektor yang berorientasikan eksport dan berdaya tahan terhadap Covid-19.
“Namun, kami mengunjurkan keadaan pasarana pekerjaan akan kembali ke tahap pemulihan trajektori selepas manfaat program vaksinasi mula memberi kesan dan ia akan menambahbaik keadaan kesihatan di Malaysia.
"Ini akan membolehkan sekatan perjalanan dilonggarkan dan kegiatan ekonomi akan kembali normal secara beransur-ansur.
Ketika ditanya apakah ketidaktentuan dalam perkembangan politik akan mempengaruhi ekonomi, Nor Shamsiah berkata: "Krisis ini boleh terjadi dari mana-mana sahaja tetapi kesan krisis itu akan menjejaskan pasaran kewangan. Oleh itu, contohnya, anda boleh mengalami krisis global tetapi pasaran kewangan akan menjadi yang pertama menerima kesannnya. Ia akan menjadi tidak menentu.
“Oleh itu, Bank Negara diamanahkan untuk memastikan bahawa tanpa mengambil kira keadaan turun naik ini dan apa yang menyebabkan ketidaktentuan, BNM mempunyai kaedah menerusi dasar dan kemampuan bagi memastikan bahawa pasaran kewangan terus berjalan lancar.
"Sekiranya pasaran kewangan terus lancar, limpahan kepada ekonomi sebenar akan dapat diatasi. Kami mempunyai rekod prestasi mengekalkan pasaran kewangan yang teratur dan ini akan terus menjadi amanah kami,” katanya.
BNM pada Jumaat mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia tumbuh 16.1 peratus pada suku kedua 2021 tahun ke tahun berbanding -0.5 peratus pada suku pertama tahun ini, disokong terutamanya oleh peningkatan permintaan dalam negeri dan prestasi eksport yang kukuh.
Ini bertentangan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) -17.1 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebagai langkah menangani penularan Covid-19 di Malaysia telah memberi kesan teruk.
Pertumbuhan yang kukuh mencerminkan asas rendah daripada penurunan aktiviti yang ketara pada suku kedua 2020. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!